WTE bukan lagi pilihan, tetapi pemacu penting pengurusan sisa pepejal mampan

24 Nov 2026, 9:17 AM
WTE bukan lagi pilihan, tetapi pemacu penting pengurusan sisa pepejal mampan
WTE bukan lagi pilihan, tetapi pemacu penting pengurusan sisa pepejal mampan
WTE bukan lagi pilihan, tetapi pemacu penting pengurusan sisa pepejal mampan
WTE bukan lagi pilihan, tetapi pemacu penting pengurusan sisa pepejal mampan

PUTRAJAYA, 24 NOV: Peralihan daripada kaedah pelupusan konvensional kepada teknologi Sisa kepada Tenaga (WTE) penting dalam membentuk sistem pengurusan sisa pepejal negara yang lebih mampan dan berdaya tahan demi kesejahteraan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (WHB), Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin berkata pemahaman mengenai teknologi WTE penting bagi membolehkan masyarakat menilai pelaksanaannya berdasarkan fakta, khususnya dari aspek proses operasi, manfaat penjanaan tenaga serta kawalan impak terhadap alam sekitar.

Menurutnya, kebergantungan kepada tapak pelupusan sebagai kaedah utama pengurusan sisa pepejal tidak lagi relevan dalam menangani peningkatan jumlah sampah susulan pertambahan penduduk dan perkembangan aktiviti perindustrian.

Jelasnya, penggunaan teknologi WTE di negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, China dan beberapa negara Eropah membuktikan kaedah itu sudah menjadi sebahagian daripada sistem pengurusan sisa pepejal moden, dengan kemajuan teknologi membolehkan pelepasan bahan pencemar dikawal menerusi sistem rawatan berteknologi tinggi.

Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin bercakap ketika Forum Sustainable Waste Management Exhibition & Conference (SWAM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 24 November 2026. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Sekarang ini teknologi telah berkembang maju dan canggih. Segala emisi atau sisa yang keluar daripada WTE ini telah sampai ke tahap yang, saya dimaklumkan, lebih bersih daripada udara di persekitaran kita.

“Jadi, saya mohon semua mengambil maklum bahawa solusi menerusi fasiliti WTE ini sebenarnya sudah berada di depan mata. Diharapkan masyarakat dapat menerima teknologi ini dan bukan sahaja Selangor, malah negeri lain juga dapat mengadaptasinya,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi perkongsian bertajuk Transforming Waste to Energy sempena Sustainable Waste Management Exhibition & Conference (SWAM) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Forum Sustainable Waste Management Exhibition & Conference (SWAM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 24 November 2026. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Kawalan operasi

Menurutnya, pengalaman lebih 30 tahun WHB dalam sektor pengurusan sisa pepejal menjadi asas kepada pengembangan kepakaran syarikat itu dalam teknologi WTE, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sistem pemantauan dalam talian bagi mengawal prestasi operasi serta memastikan pematuhan piawaian alam sekitar secara masa nyata.

“Semua parameter berkaitan emisi dan efluen yang dilepaskan daripada loji disambungkan terus secara dalam talian kepada Jabatan Alam Sekitar bagi memastikan operasi kita lebih telus.

“Kita juga memastikan semua peraturan dipatuhi dan operasi berjalan dalam parameter yang dibenarkan. Malah, kita berusaha memastikan tahap pelepasan jauh lebih rendah daripada had yang ditetapkan,” katanya.

Pegawai Eksekutif Kumpulan Worldwide Holdings Berhad, Ahmad Zaki Ahmad Zainuddin (kanan) bercakap ketika Forum Sustainable Waste Management Exhibition & Conference (SWAM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 24 November 2026. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mengulas kesesuaian teknologi itu dengan keadaan tempatan, Ahmad Zaki berkata pengurusan sisa pepejal di Malaysia mempunyai cabaran tersendiri berikutan komposisi sampah yang mengandungi kandungan air dan bahan organik yang tinggi, sekali gus memerlukan penyesuaian dari aspek reka bentuk serta operasi loji.

Menurutnya, WHB menggabungkan pengalaman tempatan dengan teknologi WTE yang terbukti berkesan, termasuk dalam pengurusan campuran sisa, kawalan proses pembakaran dan suhu bagi memastikan operasi loji kekal stabil serta sesuai dengan ciri sampah di Malaysia.

Perluas pelaksanaan

Ke hadapan, katanya, WHB akan terus memperluas pelaksanaan teknologi berkenaan menerusi loji WTE Jeram 1, Jeram 2 dan WTE3 di Tanjung 12 sebagai sebahagian usaha mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan, mengambil kira Selangor menghasilkan kira-kira 8,000 tan sampah setiap hari.

“Loji WTE Jeram 1 mula beroperasi pada 13 Mei lalu dengan kapasiti 1,500 tan sisa pepejal sehari, manakala WTE Jeram 2 dijadualkan memulakan operasi pada suku pertama 2027.

“Kedua-dua pembangunan itu bakal meningkatkan kapasiti pengurusan sisa pepejal sehingga 3,000 tan sehari serta keupayaan penjanaan tenaga sebanyak 52 megawatt (MW),” katanya.

Model replika logi Sisa kepada Tenaga (WTE) di reruai pameran Worldwide Holdings Berhad ketika pameran sempena forum Sustainable Waste Management Exhibition & Conference (SWAM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 24 November 2026. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Justeru, beliau berkata masyarakat perlu memainkan peranan dengan memahami kaedah pengurusan sisa pepejal serta memastikan maklumat berkaitan teknologi baharu itu diperoleh daripada sumber yang sahih.

“Kita sepatutnya mengambil tahu dan memastikan maklumat yang diperoleh adalah benar. Pengurusan sampah ini tidak mudah. Selain industri, kita semua juga harus bertanggungjawab kerana kita menyumbang kepada penghasilan sampah.

“Kita perlu mengawal sendiri cara pengurusan sampah tersebut. Oleh itu, pengurusan sampah perlu bermula dari rumah.

“Sebelum ini, semuanya diuruskan melalui tapak pelupusan. Jika difikirkan, kaedah itu satu pembaziran kerana tanah yang sepatutnya boleh dimanfaatkan digunakan untuk menempatkan sampah sehingga mengakibatkan kerosakan kepada tanah.

“Bukan sahaja menyebabkan kerosakan tanah, malah boleh berlaku pencemaran sumber air dan udara serta menimbulkan masalah lain. Bekerja di tapak pelupusan juga bukan sesuatu yang mudah. Jadi, solusi yang ada di hadapan kita sebenarnya ialah WTE,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.