KUALA LUMPUR, 5 OKT: Loji Sisa kepada Tenaga (WTE) Jeram di Kuala Selangor beroperasi dengan cekap dan sistem kawalan pencemarannya, termasuk pelepasan gas, berada pada tahap yang ditetapkan, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Pengarah JAS Selangor, Datuk Wandi Yadzid Yaakob berkata beliau sendiri pernah melawat kemudahan itu dan mendapati sistem yang digunakan adalah canggih.
“Saya pernah melawat fasiliti WTE di Jeram dan melihat sistemnya memang maju. Semua pelepasan gas termasuk dioksin dikawal mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Kita juga mempunyai sistem pemantauan berterusan bersama bahagian udara. Jika berlaku peningkatan pencemaran dan tahapnya mencapai 80 peratus, sistem akan diaktifkan dan operasi akan dihentikan.
“Tiada bahan pencemar akan dilepaskan ke udara sekiranya sistem kawalan pencemaran berfungsi dengan baik,” katanya pada sesi soal jawab sempena program libat urus media JAS di Pavilion Hotel di sini hari ini.
Wandi berkata kemudahan WTE tidak seharusnya menimbulkan masalah sekiranya diurus dengan baik dan mematuhi undang-undang, seperti yang dilaksanakan di negara maju termasuk Singapura dan Jepun.
Beliau berkata loji WTE juga berbeza dengan tapak pelupusan sampah haram yang boleh menyebabkan pencemaran dan kebakaran.
Menurutnya, pengurusan sisa yang teratur semakin penting di Selangor berikutan pembangunan pesat negeri itu serta jumlah sisa yang tinggi.
Ditanya mengenai kebimbangan penduduk terhadap cadangan tapak WTE Batu Arang, Wandi berkata projek itu telah memenuhi keperluan teknikal dan perundangan menerusi Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang telah diluluskan.
Katanya, pelaksanaan projek itu tetap tertakluk kepada syarat dalam EIA serta keperluan pihak berkuasa.
“Dari aspek teknikal pencemaran, semua keperluan undang-undang telah dipenuhi. Syarat dan langkah mitigasi yang dinyatakan dalam laporan EIA juga telah dipatuhi, sebab itu laporan berkenaan diluluskan,” katanya.







