SHAH ALAM, 23 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang Mohd Rafiq Abdullah berharap Kerajaan Negeri mendengar kebimbangan penduduk berhubung cadangan loji sisa kepada tenaga (WTE) Batu Arang susulan bantahan masyarakat setempat yang kini mengumpul sumbangan awam untuk membiayai tindakan undang-undang terhadap projek itu.
Rafiq berkata beliau sudah beberapa kali membangkitkan isu berkenaan dalam persidangan Dewan Negeri Selangor dengan menggesa Kerajaan Negeri menilai semula projek itu dan mencari penyelesaian tanpa membiarkan perkara tersebut berlarutan sehingga ke mahkamah.
Tapak cadangan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SIS) terletak di sempadan Rawang-Batu Arang. Secara fizikal, projek itu berada di Rawang, namun kawasan perumahan padat paling hampir turut meliputi kawasan Kuang.
Rafiq berkata beliau menyokong penggunaan teknologi WTE sebagai antara kaedah menangani masalah pengurusan sisa, namun tidak bersetuju dengan cadangan lokasi projek di Batu Arang.
Beliau turut merujuk isu yang dibangkitkan berhubung Loji WTE Jeram 1 di Kuala Selangor.
“Saya bukan kata loji ini tidak boleh dibina, tetapi ia sepatutnya ditempatkan lebih jauh dari kawasan perumahan, sekurang-kurangnya 10 hingga 15 kilometer.
“Loji di Jeram terletak kira-kira lima kilometer dari kawasan perumahan dan itu juga menimbulkan banyak masalah. Perkara ini turut dinyatakan dalam laporan jawatankuasa.
“Kita berharap Kerajaan Negeri mendengar. Kita tidak sepatutnya sampai perlu pergi ke mahkamah untuk mempertikaikan perkara ini. Saya rasa kita sudah melepasi tahap itu.
“Kerajaan sepatutnya boleh mendengar, meneliti apa sebenarnya yang rakyat mahukan, menilai semula perkara ini dan mencari penyelesaian. Saya rasa itu jalan terbaik,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
Walaupun Loji WTE Jeram 1 tidak berdepan bantahan besar daripada penduduk setempat, projek berkenaan mendapat tentangan daripada beberapa kumpulan luar dan aktivis alam sekitar.
Rafiq merupakan anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti (JPK-INFRAGRO) Dewan Negeri Selangor.
Pada Isnin, sekumpulan penduduk bersama pertubuhan bukan kerajaan Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) mengadakan sidang media bagi mendapatkan sumbangan awam sebanyak RM100,000 untuk membiayai tindakan undang-undang terhadap projek itu susulan penerbitan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) terbaharu.







