Temasya Ulang Tahun Klang Ke-3 himpun aktiviti keluarga, hiburan 26-29 Nov

24 Nov 2026, 5:06 AM
Temasya Ulang Tahun Klang Ke-3 himpun aktiviti keluarga, hiburan 26-29 Nov

SHAH ALAM, 24 NOV: Orang ramai dijemput memeriahkan Temasya Ulang Tahun Bandaraya Diraja Klang Ke-3 yang dijadual berlangsung selama empat hari bermula 26 hingga 29 November ini di Kompleks Pandamaran.

Penganjuran bersama Havoc Fest 100.0 itu menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga, termasuk karnival makanan, pertandingan, permainan tradisional, persembahan pentas dan konsert hiburan.

Antara pengisian utama ialah Havoc Food Festival 100.0 yang menawarkan pelbagai pilihan makanan, selain peluang beramah mesra dengan selebriti dan influencer serta aktiviti bersama pengunjung.

Pengunjung turut boleh menyertai pelbagai aktiviti pada 28 November seperti pertandingan video warisan setempat daerah Klang, pertandingan masakan, permainan tradisional termasuk congkak, batu seremban dan teng-teng serta aktiviti mencanting batik.

Program turut menyediakan aktiviti khas kanak-kanak pada 29 November menerusi pertandingan mewarna, persembahan bakat dan pakaian beragam.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan artis dan kumpulan muzik sepanjang temasya, antaranya Asfahan Shah dan Manusia, Hasnol, Tonedeff serta persembahan Lawak Havoc Muzika yang menampilkan Fad Bocey, Sharif Zero dan Danial Zain.

Temasya Ulang Tahun Bandaraya Diraja Klang Ke-3 dijadual berlangsung pada 26 hingga 29 November 2026 di Kompleks Pandamaran, Klang

Kemuncak sambutan pada 29 November ialah majlis perasmian penutup oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Dato' Haji Abd Hamid Hussain, pada 8.45 malam.

Majlis berkenaan turut disusuli Konsert Malam Yang Satu bermula jam 10 malam dengan menampilkan Yabang Khalifah, Nizam Laksamana, Renggo Arrow, Yantzen dan Dato Nash.

Kategorihebahan

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.