MBSA pertimbang tambah baucar makanan percuma susulan sambutan luar biasa

30 Mei 2026, 4:00 AM
MBSA pertimbang tambah baucar makanan percuma susulan sambutan luar biasa

SHAH ALAM, 30 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang mempertimbangkan untuk menambah jumlah baucar di bawah Program Makanan Percuma susulan sambutan luar biasa yang diterima pada penganjuran pertama inisiatif itu tahun ini.

Timbalan Datuk Bandar MBSA Safriah Md Adzhar berkata kesemua 300 baucar bernilai RM10 setiap satu habis ditebus ketika program berlangsung di Medan Selera Seksyen 28, malah 100 baucar pertama habis dalam tempoh kira-kira 10 minit selepas diedarkan.

Beliau berkata MBSA bersedia menambah jumlah baucar sekiranya program itu terus mendapat sambutan menggalakkan dan lokasi penganjuran bersesuaian.

“Bagi program ini, peruntukan yang disediakan ialah RM3,000. Jika lokasi sesuai dan permintaan tinggi, kita mungkin akan menambah jumlah baucar daripada 300 kepada angka yang lebih besar,” katanya selepas melancarkan program berkenaan, seperti dilapor The Star.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memberikan baucar makanan percuma kepada 300 orang sempena Program Makan Percuma MBSA 2026 Siri 1 di Medan Selera Seksyen 28, Shah Alam pada 14 Mei 2026. Foto Facebook Majlis Bandaraya Shah Alam

Menurut Safriah, inisiatif itu diperkenalkan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup golongan berpendapatan rendah di samping menyokong peniaga yang beroperasi di medan selera kendalian MBSA.

Katanya, program berkenaan menyasarkan pelbagai kelompok masyarakat termasuk pelajar institusi pengajian tinggi awam, pekerja kilang dan penduduk setempat, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah.

“Setiap penerima diberikan satu baucar bernilai RM10 yang boleh digunakan di mana-mana gerai yang mengambil bahagian mengikut pilihan masing-masing,” katanya.

Sebanyak enam gerai makanan dan minuman di Medan Selera Seksyen 28 menyertai program tersebut.

Menerusi inisiatif itu, penerima boleh menggunakan baucar untuk membeli makanan di gerai terlibat, manakala MBSA akan membayar semula kepada peniaga berdasarkan jumlah baucar yang ditebus. Pembeli hanya perlu menambah bayaran sekiranya nilai pembelian melebihi RM10.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha MBSA (Pengurusan) Shahrin Ahmad berkata program berkenaan merupakan penganjuran pertama bagi tahun 2026, selepas inisiatif sama dilaksanakan sebanyak tiga kali setahun sebelum ini.

“Kami memilih Seksyen 28 yang terletak di zon selatan Shah Alam. Selepas ini, program akan diperluaskan ke kawasan tengah dan utara bandar raya ini,” katanya.

Beliau berkata pemilihan lokasi program dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk kepadatan penduduk, kedudukan berhampiran kawasan perindustrian serta kewujudan komuniti pelajar.

Menurutnya, Medan Selera Seksyen 28 dipilih kerana lokasinya yang strategik berhampiran kawasan kilang dan perumahan kos rendah.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.