122 stesen siren amaran banjir di Selangor bersiap hadapi MTL

24 Nov 2026, 1:10 AM
122 stesen siren amaran banjir di Selangor bersiap hadapi MTL
122 stesen siren amaran banjir di Selangor bersiap hadapi MTL

SHAH ALAM, 24 NOV: Sebanyak 122 stesen siren amaran banjir di Selangor bersedia beroperasi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi risiko banjir.

Jumlah itu merupakan yang tertinggi berbanding negeri lain, daripada keseluruhan 614 stesen siren amaran banjir yang disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia di seluruh negara.

Berdasarkan infografik JPS Malaysia, Kedah dan Kelantan masing-masing mempunyai 46 dan 55 stesen siren, manakala Pulau Pinang (55), Perak (32), Perlis (12), Terengganu (11) dan Pahang (60).

Negeri lain yang turut dilengkapi kemudahan berkenaan ialah Johor (42), Melaka (14), Negeri Sembilan (27), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (33), Sabah (103), Sarawak (1) dan Wilayah Persekutuan Labuan (1).

Sistem siren berkenaan berfungsi sebagai mekanisme amaran awal kepada penduduk di kawasan berisiko apabila paras air sungai meningkat, sekali gus memberi ruang kepada mereka mengambil tindakan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

JPS Malaysia menerusi hantaran di Facebook menyeru orang ramai supaya sentiasa peka dan berwaspada terhadap amaran yang dikeluarkan, selain mematuhi arahan pihak berkuasa ketika berdepan risiko banjir.

Menurut jabatan itu, penduduk perlu segera mendengar amaran apabila siren dibunyikan, mengalihkan barangan berharga ke tempat selamat atau kawasan tinggi, berpindah ke lokasi lebih selamat serta membawa barangan keperluan asas.

Orang ramai turut diingatkan supaya mengelakkan laluan yang ditenggelami banjir dan tidak mengambil risiko meredah kawasan berkenaan demi keselamatan diri serta keluarga.

JPS Malaysia turut menegaskan komitmennya memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir menerusi penyediaan sistem siren amaran awal, khususnya bagi melindungi penduduk di kawasan berisiko.

MTL bermula secara rasmi pada 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027. 

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.