SHAH ALAM, 24 NOV: Sembilan stesen di Selangor termasuk empat stesen di Klang mencatatkan paras air sungai bahaya setakat jam 10.15 pagi tadi, menurut laman web rasmi info banjir.
Di Klang, empat stesen terlibat adalah dua stesen di Sungai Rasau iaitu di Taman Desa Kemuning (4.15m) dan di Tugu Keris (3.96m), Sungai Klang di Bandar Klang (3.09m) dan Sungai Binjai di Pekan Meru (4.42m).
Turut mencatat pada paras bahaya adalah tiga stesen di Sungai Bernam di Jambatan SKC, Hulu Selangor (20.08m), Rimba KDR Sabak Bernam (2.35m) dan Sungai Bakul di Kampung Budiman, Petaling (8.30m).
Dua lagi stesen adalah di Sungai Langat iaitu Batu 12 Hulu Langat 43.16m dan stesen Jenderam Hilir, Sepang 11.29m.
Manakala, enam stesen berada pada paras amaran antaranya stesen Sungai Kuang di Kampung Melayu Seri Kundang, Gombak (23.65m), Sungai Damansara di TTDI Jaya (8.04m) dan Sungai Langat di Bukit Changgang (3.95m).
Sementara itu, lapan stesen berada pada paras waspada antaranya Sungai Gombak Batu 10 (76.68m), Sungai Klang Sri Manja Petaling (8.55m) dan Sungai Semenyih di Kampug Pasir Hulu Langat (49.62m).
Sebelum ini, seramai 69 penduduk daripada 19 keluarga di Sabak Bernam dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10.08 pagi tadi.
Laman web info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menjelaskan kesemua mangsa dipindahkan ke Dewan Sri Bernam dan Dewan Sri Skinchan.




