Selangor lulus pindaan undang-undang, percepat penyaluran bantuan ketika bencana

23 Nov 2026, 8:04 AM
Selangor lulus pindaan undang-undang, percepat penyaluran bantuan ketika bencana

SHAH ALAM, 23 NOV: Tabung Amanah Bencana Alam (TABA) Selangor belum pernah digunakan sejak diwujudkan berikutan prosedur pengeluaran yang memerlukan kelulusan Dewan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri sebelum ini menggunakan rizab dan sumber tunai sedia ada bagi membiayai pengurusan bencana, termasuk ketika pandemik COVID-19.

Menurutnya, pindaan enakmen yang dibentangkan hari ini bertujuan memudahkan penggunaan dana berkenaan apabila berlaku bencana tanpa kekangan prosedur terdahulu.

“Sepanjang penubuhan tabung ini, ia tidak pernah digunakan sebab ketika pengurusan bencana gunakan rizab yang ada dan kecairan wang tunai.

“Namun, ketika COVID-19, kita tidak gunakan sebab kekangan kena bawa ke Dewan tetapi Dewan tidak bersidang, kita gunakan wang cair yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tabung Amanah Bencana Alam (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Amirudin menjelaskan pindaan itu membolehkan dana TABA dimasukkan ke dalam akaun wang disatukan supaya Kerajaan Negeri dapat menggunakannya dengan lebih segera ketika kecemasan.

“Penggunaan tabung ini perlu dibawa ke Dewan Negeri tetapi apabila kita masukkan wang disatukan, pada bila-bila masa Kerajaan Negeri boleh menggunakan dan laksana perbelanjaan tambahan kemudian atau waktu-waktu bencana besar seperti COVID-19 atau banjir besar seperti 2021,” katanya.

Menurutnya, dana berkenaan boleh digunakan bagi pelbagai keperluan termasuk bantuan ihsan kepada mangsa, pembaikan infrastruktur serta pengurusan kawasan terjejas.

“Tabung ini boleh digunakan semua bentuk bencana. Kalau diisytihar dalam keadaan bencana, maknanya boleh digunakan dari semasa ke semasa termasuk kriteria bantu mangsa atau menguruskan kawasan-kawasan terbabit,” katanya.

Amirudin berkata pindaan itu turut bertujuan memperkemas pelaporan kewangan tanpa menjejaskan ketelusan dan integriti pengurusan dana.

Katanya, hibah atau hasil tabung akan terus dimasukkan ke dalam TABA, manakala laporan kewangan tetap tertakluk kepada proses audit dan pengawasan Dewan Negeri.

“Jadi, ini untuk mempermudah, memperkemas pelaporan akaun. Tiada isu integriti atau pelaporan ketelusan kerana akhirnya dibentang di Dewan apabila laporan audit dibentang di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” katanya.

Terdahulu, tiga lagi RUU diluluskan pada persidangan berkenaan, iaitu RUU Enakmen Hospital Tai Wa (Pembubaran) 2026, RUU Enakmen Tabung Amanah Warisan Anak Selangor (Pindaan) 2026 dan RUU Enakmen Tabung Warisan (Pindaan) 2026.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.