SHAH ALAM, 5 JUN: Sebuah keluarga yang hilang tempat berteduh selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran di Pekan Pasir Panjang, Sekinchan menerima sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi meringankan beban yang ditanggung.
Bantuan itu disalurkan susulan kejadian yang memusnahkan rumah mangsa, dengan kerjasama Ketua Kampung Pasir Panjang, Nazir Masjid As-Saidiah Pekan Pasir Panjang serta ahli jawatankuasa masjid.
LZS menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kejadian pada 3 Jun lalu melibatkan dua buah rumah dan dipercayai berpunca daripada litar pintas di sebuah rumah kosong bersebelahan sebelum api merebak ke keseluruhan kediaman mangsa.
"Marilah kita bersama-sama mendoakan agar urusan mangsa dipermudahkan dan diberikan kekuatan menghadapi ujian ini. Semoga setiap sumbangan dan keprihatinan kita menjadi asbab kebaikan dan ganjaran di sisi-Nya," katanya.
Menurut agensi itu, mangsa dikenali sebagai Azmi bersyukur kerana ibu dan anaknya yang berada di rumah ketika kejadian sempat menyelamatkan diri.
"Kini beliau sekeluarga tinggal menumpang di rumah saudara terdekat buat sementara waktu," katanya lagi.
Pada masa sama, agensi itu merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat yang menjadi asbab bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan.










