SHAH ALAM, 23 NOV: Sebanyak 12 persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebudayaan menerima Insentif Kebudayaan Negeri Selangor 2026 sebagai penghargaan terhadap usaha memelihara serta mengembangkan seni dan warisan di peringkat akar umbi.
EXCO Kebudayaan, Borhan Aman Shah berkata insentif itu disampaikan sempena Majlis Perasmian Temasya Seni Budaya dan Warisan Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam semalam.
Menurutnya, penganjuran temasya berkenaan merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memartabatkan seni, budaya dan warisan pelbagai kaum, selain menyediakan platform kepada penggiat seni mengetengahkan bakat serta keunikan budaya masing-masing.
“Pada majlis ini, saya turut berbesar hati menyampaikan Insentif Kebudayaan Negeri Selangor 2026 kepada 12 persatuan dan NGO kebudayaan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri atas komitmen dan usaha mereka dalam memelihara serta mengembangkan seni budaya di peringkat akar umbi,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Borhan berkata temasya selama tiga hari itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk persembahan kebudayaan, peragaan busana tradisional, demonstrasi seni dan masakan warisan, pameran serta permainan rakyat.
Katanya, penganjuran turut dimeriahkan dengan kerjasama Pesta Seri Rasa yang menawarkan pelbagai pilihan makanan kepada pengunjung.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), persatuan kebudayaan, penggiat seni serta semua pihak yang menjayakan temasya berkenaan.
Borhan berharap usaha memelihara dan mengembangkan seni, budaya serta warisan Selangor diteruskan supaya khazanah berkenaan dapat diwarisi generasi akan datang.








