ad

EXCO: Muzium Setem, Kapal Korek bakal jadi tarikan baharu di Selangor

14 Sep 2025, 11:01 AM
EXCO: Muzium Setem, Kapal Korek bakal jadi tarikan baharu di Selangor
EXCO: Muzium Setem, Kapal Korek bakal jadi tarikan baharu di Selangor
EXCO: Muzium Setem, Kapal Korek bakal jadi tarikan baharu di Selangor

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerja pembinaan Muzium Setem di Seksyen 14 di sini giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang awal 2027, kata EXCO Kebudayaan.

Datuk Borhan Aman Shah berkata bangunan muzium tersebut dibina dengan bercirikan reka bentuk sampul surat selain menampilkan koleksi setem milik Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

“Muzium Setem dijangka dibuka pada 2027. Sekarang persiapan di peringkat akhir. Kita terpaksa tunggu pereka dalaman (ID) juga kelulusan sijil penyiapan dan pematuhan (CCC) untuk pastikan muzium ini melepasi taraf ditetapkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup program tahunan Bermalam di Muzium 2025 di Muzium Sultan Alam Shah di sini, yang melibatkan 113 peserta, hari ini.

Borhan menjelaskan, pembinaan Muzium Setem mengalami kelewatan berpunca daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan kontraktor gagal menyiapkan projek tersebut kerana berdepan masalah kerugian.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri mengambil masa memilih semula kontraktor baharu bagi memastikan muzium berkenaan berjaya direalisasikan walaupun berlaku kelewatan daripada jadual ditetapkan.

“Mengambil masa juga untuk nilai semula dan lantikan kontraktor baharu. Sekarang berjalan lancar, saya baharu saja melawat ke situ dan nampaknya sedang berjalan,” katanya.

Pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) tahun lalu, Borhan memaklumkan Muzium Setem yang sepatutnya siap tahun lalu mengalami kelewatan berikutan faktor PKP dan beberapa isu teknikal.

Dalam pada itu, Borhan berkata usaha untuk menjadikan kapal korek Sri Banting sebagai Muzium Perlombongan dan Kapal Korek sedang dilaksana, termasuk penukaran hak milik kepada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT).

Menurutnya, projek membangunkan kapal korek biji timah itu sebagai muzium sepatutnya dilakukan Majlis Perbandaran Sepang (MPS) namun pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berdepan beberapa kekangan.

“Kapal korek ini diberi amanah kepada MPS untuk membeli dan menyelenggara, tetapi ada sedikit kekangan. Saya telah cadangkan supaya diangkat ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) supaya ada satu keputusan.

“Sama ada mahu diserah secara kasih sayang kepada PADAT atau bagaimana, biarlah Kerajaan Negeri putuskan. Selepas itu kita akan rangka bagaimana untuk jadikannya muzium perlombongan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor bercadang mahu menjadikan kapal korek biji timah antara terbesar di dunia itu sebagai muzium bersejarah sekali gus menjadikannya tarikan baharu pelancongan.

Terletak di Dengkil, kapal korek dengan berat melebihi 6,000 tan itu dibeli Kerajaan Negeri melalui MPS dengan kos RM10 juta pada 2023.

ENDS.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.