Projek tebatan banjir dilaksana di sembilan kawasan DUN Batu Tiga

24 Nov 2026, 3:00 AM
Projek tebatan banjir dilaksana di sembilan kawasan DUN Batu Tiga
Projek tebatan banjir dilaksana di sembilan kawasan DUN Batu Tiga

SHAH ALAM, 24 NOV: Pelbagai projek pembaikan, naik taraf dan pembinaan infrastruktur tebatan banjir dilaksanakan di sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga bagi mengurangkan risiko limpahan air serta banjir.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata usaha itu merangkumi pembinaan sistem saliran baharu, pemasangan pam air, pelebaran sungai dan pembinaan struktur tebatan banjir di kawasan berisiko.

"Secara keseluruhannya, kita telah beralih daripada pendekatan menangani banjir selepas kejadian kepada usaha menyelesaikan punca banjir melalui pembinaan infrastruktur yang lebih mampan," katanya kepada Media Selangor.

Antara projek utama ialah pembinaan tembok tebatan banjir (flood wall) dan pemasangan dua pam skru (screw pump) dengan kapasiti gabungan melebihi dua meter padu sesaat di Taman Intan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Projek bernilai RM8 juta itu mencapai kemajuan 97 peratus setakat Oktober 2026.

Di Kampung Kebun Bunga pula, pembinaan cerucuk kepingan konkrit (concrete sheet pile) sepanjang 750 meter dan rasuk penutup (capping beam) sepanjang 290 meter telah disiapkan.

Projek itu turut merangkumi pembinaan sangkar gabion, ban tanah dan struktur saluran keluar (outlet structure), selain pengoperasian kolam tadahan serta pam air.

Sementara itu, Danial berkata, penambahbaikan di Kampung Air Kuning melibatkan pembinaan sistem saliran baharu dan peningkatan keupayaan pam air bagi mengurangkan risiko limpahan ke kawasan kediaman.

Di Taman Ros, Bukit Kuda, pemasangan pintu kawalan air (flat gate) dan pembinaan sistem perparitan selebar 1.5 meter siap pada Mei 2026.

Sistem pengepaman air di Seksyen 23 pula ditambah baik menerusi pemasangan pam baharu pada April, manakala kerja pelebaran sungai melalui SMG serta pembaikan saliran di Seksyen 17 telah disiapkan.

Kolam takungan air Kampung Padang Jawa ketika tinjauan pada 7 November 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Kerja pembaikan dan penambahbaikan saliran turut diselesaikan di Seksyen 18.

Di Padang Jawa, dua pam air dipasang di kolam tadahan dengan kos sekitar RM600,000, selain kerja pembersihan dan penambahbaikan saliran berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Jawa.

Bagaimanapun, pembinaan kunci air di Monsoon Drain bagi menangani masalah banjir sekitar Jalan Mat Raji masih dalam pelaksanaan.

Bagi penyelesaian jangka panjang di Taman Rashna, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan RM40 juta bagi projek tebatan banjir di kawasan berkenaan.

Media Selangor sebelum ini melaporkan Danial menggesa kerja kajian dan reka bentuk projek itu dimulakan lebih awal ketika Persidangan Dewan Negeri Selangor bagi mempercepatkan pelaksanaannya.

Bagaimanapun, projek berkenaan masih memerlukan tempoh kajian sebelum kerja fizikal dapat dimulakan.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.