SHAH ALAM, 23 NOV: Jumlah kawasan berisiko banjir (hotspot) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga berkurang daripada sembilan kepada hanya dua kawasan susulan pelaksanaan pelbagai projek tebatan banjir.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid berkata pengurangan itu hasil pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan penambahbaikan sistem saliran bagi mengurangkan risiko banjir.
Menurutnya, dua kawasan yang masih memerlukan penyelesaian lanjut ialah Taman Rashna dan Padang Jawa, khususnya sekitar Jalan Mat Raji.
“Alhamdulillah, secara keseluruhannya kita melihat perkembangan yang positif dalam usaha mengatasi masalah banjir di DUN Batu Tiga.
“Daripada sembilan kawasan hotspot banjir yang dikenal pasti sebelum ini, kini hanya berbaki dua kawasan yang masih memerlukan penyelesaian lanjut,” katanya kepada Media Selangor.
Danial berkata tujuh kawasan lain telah menerima pelbagai projek penambahbaikan, iaitu Kampung Air Kuning, Taman Intan, Kampung Kebun Bunga, Taman Ros Bukit Kuda, Seksyen 23, Seksyen 17 dan Seksyen 18.
Katanya, usaha menangani banjir di Taman Rashna masih memerlukan penyelesaian jangka panjang dengan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini menyalurkan peruntukan RM40 juta bagi tujuan berkenaan.
Beliau turut membangkitkan perkara itu dalam sidang Dewan Negeri Selangor supaya kerja kajian dan reka bentuk dapat dimulakan lebih awal bagi mempercepat pelaksanaan projek.
Sementara itu, pembinaan kunci air di Monsoon Drain, Padang Jawa sedang dilaksanakan bagi menangani masalah banjir di sekitar Jalan Mat Raji.
“Walaupun pengurangan daripada sembilan kepada dua hotspot merupakan perkembangan yang positif, kita tidak boleh berpuas hati selagi masih ada penduduk yang berdepan risiko banjir,” katanya.
Danial berkata sasaran seterusnya adalah memastikan kedua-dua kawasan berkenaan menerima penyelesaian berkesan bagi mencapai sifar hotspot banjir di DUN Batu Tiga.
Dalam pada itu, Pejabat DUN Batu Tiga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan bagi memantau sistem saliran, kolam tadahan dan pam air.







