SHAH ALAM, 14 MAC: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti sebanyak 288 kawasan hotspot kemalangan jalan raya di seluruh negara, yang akan diberi tumpuan sepanjang Aidilfitri ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata semua kenderaan penguat kuasa JPJ dikerah melakukan pemantauan dengan rondaan ditingkatkan di kebanyakan lokasi terbabit.
"Saya sudah arahkan semua kenderaan penguat kuasa JPJ berada di atas jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri (untuk penugasan oeprasi).
"Tiada satu pun akan berada di pejabat," katanya ketika ditemui pada program Ihya Ramadan Akrab JPJ dan Komuniti di Terminal Bas Seksyen 17 di sini, lapor Berita Harian.
Menurut Aedy, pemasangan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) membantu meningkatkan pematuhan pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan terutamanya di kawasan Terowong Menora, Perak.
Tambahnya, JPJ akan mempergiatkan Operasi Hari Raya Aidilfitri selama dua minggu bermula hari ini membabitkan hampir 3,000 anggota ditugaskan di seluruh negara.
"Operasi memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama seperti tidak mematuhi had laju, melanggar isyarat lalu lintas, memotong di garisan berkembar, membawa lebihan muatan dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu," katanya.
JPJ juga akan terus melaksanakan pemeriksaan mengejut di terminal bas selain penyamaran anggota dalam bas ekspres bagi menjamin keselamatan penumpang.
Larangan pemanduan kenderaan barangan akan dikuatkuasakan selama empat hari iaitu pada 19 dan 20 Mac, serta 28 dan 29 Mac ini.








