SHAH ALAM, 27 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 15,000 jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi tadi.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Keberangkatan tiba Baginda disambut Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari sebelum menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha yang bermula jam 8 pagi.

Solat sunat berkenaan diimamkan Imam Datuk Muhammad Farhan Wijaya manakala khutbah Aidiladha bertajuk “Eiduladha: Iman dan Pengorbanan” dibacakan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir.
Dalam khutbah itu, umat Islam diseru menghayati kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS yang mengajar erti pengorbanan, keikhlasan serta ketaatan kepada Allah SWT.
Khutbah berkenaan turut menekankan bahawa setiap kejayaan dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah memerlukan usaha dan pengorbanan berterusan selain setiap ibadah hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan.
Tinjauan mendapati pekarangan masjid dipenuhi orang ramai yang hadir seawal pagi bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama Sultan Selangor dan kerabat diraja.










