SHAH ALAM, 20 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan raya RM250,500 kepada 501 penerima meliputi asnaf, fakir, miskin dan mualaf sekitar Shah Alam.
Keceriaan tergambar pada wajah 200 penduduk fakir, 241 orang miskin dan 60 mualaf yang masing-masing menerima sumbangan RM500 daripada Sultan Sharafuddin.
Dalam majlis sama, Baginda turut berkenan menerima bayaran zakat lebih RM11 juta daripada enam syarikat termasuk empat anak syarikat Kerajaan Negeri.
Zakat itu dikeluarkan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad RM3.4 juta diikuti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berjumlah (RM1.21 juta) dan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (RM1.09 juta).
Selain itu, Rafulin Sdn Bhd bernilai RM2.4 juta, Kumpulan Worldwide Holdings Berhad (RM2 juta) dan Bank Islam Malaysia Berhad (RM1.2 juta).
Sultan Selangor turut berkenan menerima serahan Mock Key Klinik Mata Wakaf Selangor kepada Management & Science University (MSU) berjumlah RM419,000.
Seterusnya, Sultan Sharafuddin berkenan menerima serahan cek cura Wakaf Korporat daripada Public Islamic Bank Berhad berjumlah RM1 juta dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjumlah RM50,000.
Selepas santapan berbuka puasa, DYMM Sultan Selangor berkenan menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Salehuddin Saidin; EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mohammad Fahmi Ngah; Mufti Selangor Dato' Setia Dr Anhar Opir dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad.











