PUTRAJAYA, 7 NOV: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dengan perancangan awal, penyelarasan sumber serta memberi keutamaan kepada kesiapsiagaan operasi.
Dalam kenyataan hari ini, PETRA memaklumkan persediaan menghadapi MTL yang bermula 27 Okt lepas dan dijangka berakhir pada Mac 2027 itu dilaksanakan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi memastikan pengurusan risiko banjir dapat dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh.
Ia memaklumkan sepanjang MTL 2025/2026 dari 13 Nov 2025 hingga 31 Mac 2026, Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS mengeluarkan 103 buletin hebahan, terdiri daripada 64 Buletin Ramalan Awal Banjir dan 39 Buletin Amaran Banjir.
“Sebanyak 14.8 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) turut dihantar kepada penduduk di kawasan berisiko berdasarkan rekod Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Sebanyak 799 kejadian banjir turut direkodkan di seluruh negara, dengan 480 kes banjir monsun, banjir kilat (274), banjir genang (25 ) dan banjir pantai (20),” menurut kenyataan itu.
PETRA berkata kejadian banjir berkenaan antaranya berpunca daripada limpahan air sungai, masalah saliran dalaman dan air laut pasang, selain faktor setempat seperti longkang tersumbat, pembangunan tidak terkawal, pembukaan tanah dan isu pembuangan sampah.
Bagi menghadapi MTL 2026/2027, JPS melaksanakan pemantauan operasi 24 jam sepanjang tahun menggunakan model ramalan banjir di 36 lembangan sungai, disokong 2,237 stesen hidrologi telemetri yang merekodkan data hujan dan aras air sungai melalui PRABN.
Selain itu, PETRA memaklumkan 614 siren amaran banjir dan 197 kamera pemantauan telah dipasang di lokasi strategik seluruh negara bagi membantu pemantauan situasi semasa.
Menurut kenyataan itu, 3,045 lokasi hotspot banjir dikenal pasti berdasarkan rekod kejadian sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini, dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 609 lokasi, diikuti Pahang (572) dan Terengganu (460).
Dari segi kesiapsiagaan aset operasi, 1,079 unit pintu kawalan air dan 285 rumah pam di seluruh negara berada dalam keadaan baik serta siap sedia untuk operasi kawalan banjir.
Sebanyak 580 unit pam kecemasan mudah alih pelbagai kapasiti turut tersedia untuk digerakkan ke lokasi kritikal bagi mengurangkan risiko banjir.
Dalam pada itu, kementerian itu memaklumkan pemantauan turut dilaksanakan terhadap 16 empangan kawalan JPS dan 781 kolam takungan banjir, selain kerja penyelenggaraan di lembangan sungai berisiko tinggi.
“Kerjasama dengan MCMC serta syarikat telekomunikasi juga diteruskan bagi menyalurkan hebahan amaran banjir melalui SMS kepada penduduk di kawasan berisiko
“Penyelarasan bersama pihak berkuasa negeri turut dilaksanakan bagi menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pelepasan air empangan bagi meningkatkan keupayaan takungan banjir sepanjang MTL,” menurut PETRA.
Sementara itu, kementerian memaklumkan bagi mengurangkan risiko banjir, 1,638 kerja kecil dilaksanakan pada 2026 dengan kos RM652 juta, manakala 342 projek pembangunan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) RMK13 diluluskan untuk pelaksanaan tahun ini dengan peruntukan RM3.2 bilion.
Orang awam juga disarankan sentiasa mengikuti maklumat ramalan dan amaran banjir rasmi JPS melalui laman sesawang Public InfoBanjir serta aplikasi MyPublicInfoBanjir yang boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store.







