Dua beradik rentung, ibu menumpang di stor pejabat gudang simpanan

21 Nov 2026, 9:18 AM
Dua beradik rentung, ibu menumpang di stor pejabat gudang simpanan

SIK, 21 NOV: Dua beradik yang ditemukan rentung dalam kebakaran di Kampung Teloi Tua dekat sini pagi tadi, dipercayai menumpang di stor pejabat gudang simpanan tong gas itu dengan ibu mereka.

Ketua Polis Daerah Sik Superintenden Syamzury Saman berkata mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Raifal Abdul Latif, tiga, dan adiknya Aishah Umairah, 16 bulan manakala ibu mereka yang berusia 23 tahun selamat dalam kejadian itu.

“Dua beradik itu tinggal dengan ibu mereka yang menumpang sementara di situ manakala datuk mangsa berusia 42 tahun yang bekerja sebagai kelindan lori tong gas berada di bilik lain kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Syamzury berkata siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran dengan pasukan forensik polis dan bomba telah hadir ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata mayat dua beradik itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Terdahulu, bomba yang menerima panggilan kecemasan kebakaran itu pada 6.11 pagi menemukan dua beradik tersebut rentung dalam keadaan berpelukan di atas katil.

Kebakaran melibatkan sebuah bangunan berukuran kira-kira 20x10 kaki dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.