Dua rentung kereta dinaiki lima individu terbabas dan terbakar

10 Nov 2026, 1:56 AM
Dua rentung kereta dinaiki lima individu terbabas dan terbakar

JOHOR BAHRU, 10 NOV: Dua individu rentung manakala dua lagi cedera selepas kereta yang dinaiki terbakar dalam kejadian kemalangan berhampiran Permas Jaya Golf Club, menghala ke Bakar Batu, di sini awal pagi ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, PBK I Razali Hussein berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.35 pagi.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Mercedes dipercayai terbabas dan terbalik di tepi jalan sebelum terbakar sehingga 90 peratus.

"Lima mangsa terbabit dalam kejadian itu dengan tiga daripadanya berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

"Seorang mangsa lelaki berusia 23 tahun melecur di bahagian kaki dan tangan, diberikan rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Razali berkata seorang lagi mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh orang awam, manakala seorang lagi mangsa selamat.

Beliau berkata dua mangsa ditemukan rentung di dalam kenderaan tersebut, bagaimanapun belum dapat dikenal pasti identitinya dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan dan tamat sepenuhnya pada 6.47 pagi," katanya.

--BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.