SHAH ALAM, 5 NOV: Penyelenggaraan sistem saliran secara bersepadu antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan perlu diperkukuh bagi memastikan aliran air dari kawasan huluan ke hiliran berjalan lancar, sekali gus mengurangkan risiko banjir.
Pakar perancang bandar, TPr. Mazrina Abdul Khalid berkata pengurusan saliran perlu diselaraskan secara menyeluruh kerana sistem tersebut saling berhubung dan merentasi sempadan pentadbiran antara PBT.
“Saliran kita ini daripada kawasan huluan hingga hiliran. Jadi kita kena ada pengurusan bersama kerana saliran kita biasanya adalah daripada satu PBT ke PBT yang lain.
“Penyelenggaraan ini kena berpanjangan, tidak boleh dilaksanakan secara bermusim atau hanya apabila berlaku banjir, sebaliknya perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan sistem saliran berfungsi dengan baik,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) berkata hujan lebat bukan satu-satunya faktor yang menyebabkan banjir kerana takungan air yang sudah penuh akibat hujan berpanjangan sebelum itu turut meningkatkan risiko limpahan.
“Kadang-kadang takungan air hasil daripada hujan yang lebat dan lama sebelum-sebelumnya sudah penuh. Justeru, penyelenggaraan yang tidak dilakukan secara berjadual dan berkala boleh memburukkan keadaan apabila berlaku hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata pemantauan digital perlu diperluas bagi membolehkan pihak berkuasa mengesan kenaikan paras air lebih awal dan mengambil tindakan segera, khususnya di kawasan berisiko banjir.
“Maklumat daripada sistem pemantauan itu membolehkan kerja penyelenggaraan dilakukan segera, selain memberi amaran kepada penduduk yang tinggal berhampiran kawasan berisiko. Ia membantu penduduk membuat persediaan awal bagi mengurangkan kerugian dan kesan akibat banjir.
"Pemantauan dari segi digital yang dilaksanakan oleh PBT dan agensi-agensi itu penting sebab yang ini akan membantu kita untuk menangani, mengurangkan kerugian akibat banjir dan juga mengurangkan kesan," katanya.
Mengulas dakwaan banjir berpunca daripada pembangunan tidak terancang termasuk lot lidi, beliau berkata penyediaan pelan perancangan kawasan khas boleh membantu memastikan kemudahan asas seperti jalan raya, sistem saliran dan utiliti dirancang secara lebih menyeluruh.
“Penyediaan jalan dan sistem saliran perlu dirancang dengan lebih teratur bagi mengelakkan masalah pada masa hadapan. Pemilik tanah juga perlu dilibatkan dalam perbincangan bagi mencari penyelesaian terhadap isu penyediaan kemudahan asas di kawasan terbabit,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R Ramanan, berkata hampir 550 rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Melayu Subang susulan empat kejadian banjir berulang dalam tempoh 30 hari.
Katanya tiga kejadian banjir kilat berlaku sepanjang Oktober, manakala satu lagi melanda kawasan itu pada awal November di kawasan itu.
Selain itu, EXCO Alam Sekitar memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mengenal pasti 56 lokasi hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko di seluruh negeri berdasarkan data asas tahun lalu.
Jamaliah Jamaluddin berkata Klang mencatat jumlah hotspot tertinggi dengan 13 lokasi, antaranya Kampung Rantau Panjang, Kampung Jalan Kebun, Taman Rashna, Taman Sri Muda dan Kampung Bukit Kapar.
Selain itu, Petaling merekodkan 11 lokasi diikuti Gombak (10), Hulu Langat (9), Kuala Selangor (6), Sepang (3) manakala Hulu Selangor dan Kuala Langat masing-masing dua lokasi.










