SHAH ALAM, 5 NOV: Pembangunan di kawasan bandar dan pinggir bandar, sama ada baharu mahupun sedia ada, perlu mengutamakan pendekatan mesra alam bagi mengurangkan risiko banjir serta meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim.
Pakar perancang bandar TPr. Mazrina Abdul Khalid berkata pendekatan itu perlu mengutamakan elemen penampan hijau, kawasan resapan air selain penggunaan bahan binaan telap air bagi memperlahankan aliran air hujan ke sistem saliran utama.
Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) itu berkata langkah berkenaan dapat membantu mengurangkan limpahan air ketika hujan lebat, selain meningkatkan keupayaan kawasan bandar dan pinggir bandar menyesuaikan diri dengan kesan perubahan iklim.
Jelasnya, pembangunan bandar tidak seharusnya terlalu bergantung kepada permukaan konkrit terutama dalan longkang kerana keadaan itu menyebabkan air hujan mengalir lebih deras ke longkang utama.
"Kalau kita tengok longkang monsun kita sekarang semua berasaskan konkrit, jadi kita kena integrasikan reka bentuk itu dengan memasukkan elemen hijau seperti rumput atau material menyerap air. Kita ada jurutera yang pakar dalam perkara ini.
“Jadi jangan semuanya longkang konkrit kerana ia akan membuat air mengalir lebih deras. Tapi jika ada kombinasi rumput dan hijauan yang menjadi penampan ia dapat membantu menyerap dan menakung air hujan, sekali gus memperlahankan aliran air ke sistem saliran utama,” katanya kepada Media Selangor.
Menurutnya, pendekatan sama boleh diterapkan di kawasan tepi jalan dengan menyediakan lebih banyak ruang dan zon penampan hijau bagi membantu mengurangkan aliran air ke longkang utama.
"Jalan itu jangan kesemuanya adalah konkrit atau terus longkang, kita kena perbanyakkan ruang-ruang hijau di antara jalan.
“Kawasan hijau ini berperanan menakung air sementara, sekali gus memperlahankan aliran sebelum memasuki sistem saliran lebih besar. Air yang mengalir itu dapat menahan air sementara. Itu yang sebenarnya kita kena perbanyakkan," katanya.
Mengambil Putrajaya sebagai contoh, beliau berkata, kawasan tanah lembap dan kolam takungan berfungsi sebagai kawasan tadahan awal sebelum air disalurkan ke kolam lebih besar, selain reka bentuk jalan di Putrajaya turut dilengkapi elemen hijau seperti zon dan jalur penampan hijau yang boleh menyerap sekali gus membantu mengawal aliran air hujan.
"Wetland-wetland itu sebenarnya bandar span yang mana dia takung air dulu sebelum masuk pula ke kolam yang lebih besar,” katanya.
Namun, katanya pendekatan itu perlu disokong penyelenggaraan berkala bagi memastikan fungsi kawasan hijau dan sistem takungan sentiasa berada pada tahap baik.
Selain itu, katanya kawasan terbiar atau ruang yang tidak digunakan juga boleh dipertimbangkan untuk ditukar menjadi kawasan hijau khusus bagi menakung air ketika hujan lebat.
“Saya rasa rasa DBKL juga sedang menjalankan inisiatif ini, yang mana ruang-ruang, kawasan-kawasan yang diterbiar diubah an kepada kawasan-kawasan hijau, yang mana untuk memang khas untuk menakung air bila hujan lebat dan sebagainya.
“Ia akan menakung air, jadi ini antara salah satu usaha Kuala Lumpur sudah mula buat, Putrajaya memang sudah lama buat. Kalau kita dengar sekarang pun dah kurang dah dulu ada banjir-banjir,” katanya.
Sebelum ini, EXCO Alam Sekitar memaklumkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor mengenal pasti 56 lokasi hotspot banjir dan 232 kawasan berisiko di seluruh negeri berdasarkan data asas tahun lalu.
Jamaliah Jamaluddin berkata Klang mencatat jumlah hotspot tertinggi dengan 13 lokasi, antaranya Kampung Rantau Panjang, Kampung Jalan Kebun, Taman Rashna, Taman Sri Muda dan Kampung Bukit Kapar.
Selain itu, Petaling merekodkan 11 lokasi diikuti Gombak (10), Hulu Langat (9), Kuala Selangor (6), Sepang (3) manakala Hulu Selangor dan Kuala Langat masing-masing dua lokasi.







