MAIS salur RM30,000 bantu pulih Masjid At-Taufiqiyah yang terjejas banjir 

21 Nov 2026, 3:13 AM
MAIS salur RM30,000 bantu pulih Masjid At-Taufiqiyah yang terjejas banjir 
MAIS salur RM30,000 bantu pulih Masjid At-Taufiqiyah yang terjejas banjir 
MAIS salur RM30,000 bantu pulih Masjid At-Taufiqiyah yang terjejas banjir 

KUALA SELANGOR, 21 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan sumbangan RM30,000 bagi membantu kerja pemulihan dan pembaikan infrastruktur Masjid At-Taufiqiyah, Desa Coalfields, yang terjejas akibat banjir berulang.

Sumbangan menerusi peruntukan Maslahah Umum Baitulmal itu bertujuan memastikan institusi berkenaan dapat kembali berfungsi dengan baik sebagai pusat ibadah dan aktiviti masyarakat setempat.

Menerusi hantaran di media sosial, MAIS memaklumkan sumbangan disampaikan Setiausaha MAIS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini kepada pihak pengurusan masjid dalam satu majlis selepas solat Jumaat lepas.

Turut hadir Pengarah Baitulmal MAIS, Ustaz Indera Shahril Mohd Shahid; Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Ustaz Suhaimi Ismail serta Pegawai Khas kepada Pengerusi MAIS, Ustaz Abdul Ghaffar Ab Ghani.

Masjid berkenaan sebelum ini mendapat perhatian ramai apabila beberapa kali dilanda banjir sehingga dikenali sebagai ‘Masjid Banjir’, dengan kejadian pada 4 November lalu antara yang terburuk pernah dialami.

Ahli Jawatankuasa masjid, Hasan Md Rasol, sebelum ini dilapor media sebagai berkata kejadian itu menyebabkan kerosakan termasuk pendawaian elektrik akibat litar pintas serta menjejaskan struktur bangunan, dengan kerugian dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit.

Susulan kejadian itu, masjid berkenaan terpaksa ditutup sementara bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan dan pembaikan.

Pada 6 November lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Kerajaan Negeri akan berbincang dengan pihak pengurusan masjid bagi meneliti kemungkinan menaik taraf atau memindahkan bangunan berkenaan susulan tujuh kejadian banjir sejak 2021.

Beliau berkata kedudukan masjid di kawasan rendah serta limpahan air dari Sungai Subang yang mengalir ke Merbau Sempak dan Sungai Buloh antara faktor yang menyumbang kepada kejadian banjir berulang.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.