SHAH ALAM, 10 NOV: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memandang serius kegiatan kutipan zakat tanpa kebenaran oleh badan bukan kerajaan (NGO) yang dikhuatiri membuka ruang kepada penyelewengan wang umat Islam.
Pengerusinya, Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin berkata kegiatan NGO yang dipercayai mengutip zakat di Selangor sebelum menyalurkannya ke negeri lain turut mendapat perhatian pihaknya.
Menurutnya, kegiatan berkenaan kini dalam siasatan polis, manakala MAIS sedang meneliti kelompangan undang-undang dan penguatkuasaan bagi membendung kutipan zakat tanpa kebenaran.
“Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan MAIS supaya meneliti perkara ini dan tidak membiarkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.
“…Terhadap kelompangan undang-undang untuk menggunakan wang masyarakat Islam bagi kepentingan sendiri. Kita mengambil serius isu ini,” katanya ketika ditemui media pada Konvensyen Baitulmal Nusantara 2026 di Hotel Concorde, di sini, hari ini.
Terdahulu, konvensyen itu disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang mewakili DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Salehuddin berkata, keperluan memperjelas kerangka perundangan bagi mengawal kutipan dan pengagihan dana sumber am Baitulmal turut dibincangkan dalam konvensyen berkenaan.
Katanya, berbeza dengan zakat dan wakaf yang mempunyai peruntukan undang-undang khusus, kawal selia sumber am masih memerlukan penelitian terutama berkaitan pemantauan kutipan dan pergerakan dana.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa pihak berautoriti untuk mengawal kutipan sumbangan orang ramai oleh NGO tanpa pemantauan sewajarnya.
“Kita juga perlu meneroka penggunaan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memperkemas kutipan, pengagihan dan mengenal pasti asnaf,” katanya.







