SHAH ALAM, 6 NOV: Suami atau isteri yang mendapati pasangan mereka mengalami ketagihan termasuk judi, dadah, arak atau pornografi disaran mendapatkan bantuan bagi mengelak gejala lebih teruk.
Penguasa Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman berkata tindakan segera penting bagi membantu seseorang individu menjalani pemulihan sebelum masalah itu menjejaskan keharmonian keluarga.
Menurut Mazlina Osman, institusi bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu menyediakan platform pemulihan melalui rujukan mahkamah atau individu sukarela mendapatkan bantuan.
"Kita pernah menerima kes isteri sendiri menghantar suami untuk menjalani program pemulihan kerana terlibat dengan ketagihan judi dalam talian.
"Ini menunjukkan ahli keluarga berperanan penting membantu insan tersayang kembali ke pangkal jalan," katanya kepada Media Selangor.

MAIS mengendalikan tiga pusat pemulihan iaitu Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam, Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam dan Pusat Pemulihan Baitul Islah di Serendah.
Mazlina berkata kemasukan ke pusat itu boleh dibuat sukarela atau melalui perintah mahkamah manakala tempoh pemulihan lazimnya sekitar enam bulan atau lebih bergantung kepada kes.
Katanya, program menumpukan pemantapan akidah, ibadah dan akhlak, selain latihan kemahiran seperti automotif, pertanian, masakan, jahitan dan kraftangan bagi membina kehidupan baharu.
"Kita mengharapkan masyarakat tampil mendapatkan bantuan lebih awal. MAIS bersedia membantu mereka yang benar-benar mahu berubah dan memulakan kehidupan baharu," katanya.







