SHAH ALAM, 21 NOV: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam memperkenalkan program Mosque Night Tour bagi mengetengahkan keunikan seni bina dan budaya Islam kepada pelancong tempatan serta antarabangsa.
Menurut Tourism Selangor, inisiatif itu bertujuan menjadikan masjid berkenaan sebagai tarikan pelancongan baharu di Shah Alam, selain memperkukuh potensi pelancongan masjid.
"Program berkenaan turut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai strategi pengurusan pelancongan masjid, termasuk kepentingan seni bina, kesenian dan perkhidmatan berkualiti dalam menyambut pelancong," menurutnya.
Tourism Selangor memaklumkan program yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini, turut menghimpunkan wakil media, pempengaruh dan penggiat industri pelancongan.
"Program itu memberi peluang kepada peserta meneroka potensi masjid bukan sahaja sebagai pusat ibadah, malah sebagai destinasi warisan dan kebudayaan.
"Antara pengisiannya ialah sesi bersama Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah mengenai usaha dakwah melalui pelancongan, cabaran serta hala tuju pelancongan masjid," kongsi Tourism Selangor.
Dalam pada itu, peserta turut mengikuti lawatan berpandu yang dikendalikan Masjid Negeri Selangor Guide (MNSG) bagi mengenali keunikan seni bina dan keistimewaan masjid berkenaan.
"Pengenalan Mosque Night Tour diharap dapat mengangkat nilai estetika serta keunikan seni bina Islam di Malaysia ke peringkat antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim," menurut agensi itu.
Program berkenaan turut mendapat sokongan Islamic Tourism Centre (ITC), Tourism Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi memperluas kefahaman mengenai ekosistem pelancongan Islam yang mampan.










