SHAH ALAM, 5 MAC: Ketika umat Islam menyambut Ramadan, pelbagai inisiatif bantuan makanan kembali giat dilaksanakan di seluruh negara, dengan tumpuan utama kepada golongan miskin bandar dan gelandangan.
Namun di sebalik peningkatan kos sara hidup dan bajet yang semakin terhad, pelajar universiti muncul sebagai kumpulan yang kurang diberi perhatian walaupun berdepan isu keselamatan makanan secara senyap.
Di institusi awam seperti Universiti Malaya (UM), agihan makanan percuma oleh masjid dan surau kampus menjadi semakin lazim, khususnya sepanjang Ramadan apabila kos makanan harian cenderung meningkat.
Presiden Kesatuan Mahasiswa UM (UMSU), Aiman Izzat Shamsuddin, berkata peningkatan kos sara hidup bukan sahaja membimbangkan pada bulan puasa, malah berlaku sepanjang tahun.
“Keadaan ini membimbangkan. Bukan hanya ketika Ramadan, tetapi sepanjang tahun. Cuma pada bulan puasa, ia menjadi lebih mendesak,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, kenaikan harga di bazar Ramadan menjadi antara faktor utama yang menekan kewangan pelajar.
“Harga satu hidangan di bazar Ramadan sekitar RM10. Dalam tempoh 30 hari, itu sudah RM300 hanya untuk berbuka, belum termasuk sahur dan perbelanjaan lain,” katanya.
Beliau berkata peningkatan kos sara hidup memaksa ramai pelajar menilai semula perbelanjaan harian, dengan semakin ramai bergantung kepada makanan percuma.
“Dalam kalangan pelajar, kami bergurau tentang ‘memburu masjid’. Selain mahu merasai suasana Ramadan dan menunaikan solat tarawih, antara sebab utama ialah makanan percuma.
“Penjimatan itu boleh digunakan untuk membeli pakaian raya dan keperluan lain. Ia bukan sekadar soal cukup makan setiap hari, tetapi untuk meringankan beban kos sara hidup,” katanya.
Aiman berkata masjid dan surau kini berfungsi sebagai jaringan keselamatan tidak rasmi bagi pelajar universiti, dengan kira-kira 1,000 pek makanan percuma diagihkan setiap hari kepada pelajar UM, termasuk di Masjid Akademi Pengajian Islam.

Tekanan kewangan melangkaui kos berbuka
Tekanan kewangan yang dihadapi pelajar bukan sekadar melibatkan kos berbuka puasa.
Aiman berkata pelajar yang tinggal di luar kampus turut menanggung perbelanjaan meningkat seperti kos pengangkutan, bahan api, bil internet dan sewa rumah.
Beliau mengakui terdapat pelajar yang terpaksa mengurangkan atau melangkau waktu makan bagi menampung perbelanjaan.
“Kita mungkin tidak selesa memikirkannya, tetapi saya percaya ada pelajar yang memilih untuk makan sekali sehari supaya wang mencukupi hingga hujung bulan. Kita tidak boleh menafikan ada yang terpaksa berbuat demikian kerana kekangan kewangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diwujudkan inisiatif lebih tersusun dan bersifat jangka panjang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kementerian berkaitan, bagi menyelaras bantuan makanan dan sokongan pengangkutan kepada pelajar.
“Mungkin bantuan seperti makanan berbuka puasa boleh diagihkan terus kepada institusi pendidikan secara berperingkat,” katanya.








