SHAH ALAM, 27 MEI: Kira-kira 200 peserta menyertai ibadah korban Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS) tahun ini membabitkan 28 ekor lembu termasuk seekor sumbangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam MSSAAS Mohd Luqman Hakkim Rizuan berkata sebanyak 27 ekor lembu lagi disumbangkan jemaah yang menyertai ibadah korban tahun ini.
Menurutnya, hampir 400 petugas terlibat menjayakan program berkenaan termasuk anggota bomba, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), UiTM serta petugas masjid.
“Alhamdulillah tahun ini kita menerima sambutan yang amat baik daripada peserta dan agensi yang membantu setiap tahun.
“Bukan sahaja peserta korban, malah ramai jemaah hadir memeriahkan program yang turut menyediakan pelbagai aktiviti serta jamuan kepada pengunjung,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan hari ini.

Beliau berkata antara aktiviti disediakan termasuk sand art, aktiviti mewarna dan permainan kanak-kanak bagi memberi keselesaan kepada keluarga pengunjung sementara menunggu pengagihan kupon daging korban.
Katanya, pihak masjid turut menyediakan pelbagai juadah antaranya air balang, apam balik, goreng-gorengan dan nasi ayam kepada peserta, petugas serta jemaah.
Mohd Luqman berkata program itu bukan sekadar meraikan ibadah korban tetapi bertujuan menerapkan semangat pengorbanan dalam kehidupan masyarakat berasaskan penghayatan kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS.
“Kita harap semangat pengorbanan itu dapat diterapkan dalam kehidupan setiap umat Islam terutama dalam soal agama dan ketaatan kepada Allah SWT,” katanya.








