KLANG, 28 JAN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atau Masjid Negeri yang merekodkan lebih 100,000 pelawat dari dalam dan luar negara pada tahun lalu.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kejayaan itu membuktikan masjid bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah, dakwah dan pendidikan, malah menjadi destinasi ikonik pelancongan Islam negara, termasuk menarik pelancong bukan Islam.
“Beta juga turut menggalakkan agar masjid-masjid lain turut mengambil inisiatif sama mempromosikan masjid masing-masing secara berhemah dan tersusun.
“Ia selaras dengan peranan masjid sebagai pusat ibadat dan mercu tanda Islam yang menjadi kebanggaan umat Islam khususnya di Selangor,” titah Baginda sempena Istiadat Pengurniaan Watikah Lantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid di Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini hari ini.
Pada majlis itu, Sultan Selangor berkenan menyampaikan watikah lantikan kepada seramai 850 nazir dan imam masjid seluruh negeri, merangkumi sembilan daerah bagi sesi perkhidmatan 2026 hingga 2030.
Sebelum ini, Imam Besar Masjid Negeri memaklumkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah terus mengukuhkan kedudukannya sebagai ikon pelancongan Islam negara apabila merekodkan lebih 100,000 kunjungan pelancong.
Menurut Dato’ Muhammad Farhan Wijaya, pencapaian itu mencerminkan peningkatan minat terhadap pelancongan berasaskan masjid atau mosque tourism.
Katanya, jumlah pelawat berkenaan melibatkan pelancong tempatan dan antarabangsa termasuk dari Eropah, Asia Barat serta Asia Timur, khususnya Jepun dan China, yang menjadikan masjid ikonik itu sebagai destinasi utama ketika berkunjung ke Selangor dan Lembah Klang.
Jelasnya lagi, peningkatan jumlah pelawat itu menunjukkan masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi turut berperanan sebagai ruang menyebarkan keindahan Islam.





