SHAH ALAM, 6 NOV: Seramai 1,242 mangsa banjir daripada 340 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor setakat 11 pagi ini, dengan Kuala Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 864 mangsa.
Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lima PPS di Kuala Selangor menempatkan 864 mangsa daripada 226 keluarga melibatkan dua mukim.
Shah Alam pula merekodkan 333 mangsa daripada 78 keluarga di empat PPS, manakala sebuah PPS di Klang menempatkan 45 mangsa daripada 36 keluarga.
Dalam perkembangan sama, Sungai Bernam di Hulu Selangor melepasi paras bahaya, manakala dua sungai di Kuala Selangor mencatat bacaan melebihi paras amaran.
Menurut portal Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras Sungai Bernam di Jambatan SKC meningkat kepada 19.01 meter pada 10.45 pagi, melebihi paras bahaya 18.06 meter.
Di Kuala Selangor, Sungai Buloh di Parit Mahang mencatat paras 4.18 meter pada 11 pagi, melepasi paras amaran empat meter.
Sungai Selangor di Rantau Panjang turut melepasi paras amaran apabila merekodkan bacaan 7.38 meter berbanding paras amaran 7.30 meter pada waktu sama.
Sementara itu, paras Sungai Binjai di Pekan Meru, Klang menunjukkan trend menurun kepada 3.92 meter pada 11 pagi, namun masih melepasi paras waspada 3.80 meter.
JPS turut merekodkan trend kenaikan paras air di ketiga-tiga sungai di Hulu Selangor dan Kuala Selangor antara 10.30 hingga 11 pagi.







