Penduduk cadang pindahkan penternakan ayam, rasa tidak selesa jejas persekitaran

25 Sep 2026, 3:00 AM
Penduduk cadang pindahkan penternakan ayam, rasa tidak selesa jejas persekitaran

KUALA LANGAT, 25 SEPT: Penduduk setempat mencadangkan penternakan ayam di sini dipindah ke kawasan lebih tersusun bagi mengurangkan gangguan terhadap kebersihan, keselesaan dan masyarakat.

Perkara itu disuarakan mereka ekoran gangguan lalat dan isu kebersihan di Kampung Sri Cheeding akibat penternakan ayam yang turut memberi kesan kepada peniaga berhampiran.

Menurut kakitangan kerajaan, Muhammad Ammar, 37, cadangan tersebut bukan untuk menghentikan operasi itu sebaliknya memastikan ia dibuat di lokasi sesuai dan jauh dari kawasan perumahan.

Katanya, beliau sendiri terpaksa mengeluarkan belanja bagi menggunakan pelekat lalat dan semburan racun berikutan masalah lalat meskipun tinggal agak jauh dari kawasan ladang.

Muhammad Ammar, 37, ketika Tinjauan ladang ayam di sekitar Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 22 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Bukan kita suruh dia (operasi penternakan) ayam ini tutup, tapi kita minta dialih ke tempat yang lebih baik untuk keselesaan penduduk," katanya kepada Media Selangor.

Pekedai runcit, Fatihah Samsuddin, 29, gangguan itu menyebabkan ramai pelanggannya berasa kurang selesa dengan suasana premis, meskipun beliau sentiasa menjaga kebersihan kedai.

Fatihah Samsudin, 29, ketika tinjauan ladang ayam di sekitar Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 22 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

"Bila kita buat (uruskan) ikan, memang lalat banyak datang, lagi-lagi bila musim pengeluaran ayam, jadi memang banyak lalat akan datang," katanya.

Fatihah berharap masalah tersebut dapat dikawal dan meminta kaedah penternakan terus ditambah baik bagi memastikan tahap kebersihan kawasan berhampiran penternakan tidak terjejas.

Peniaga restoran, Al Amirul Mukminin, 26, mengakui gangguan isu kebersihan sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaannya lantaran pelanggan kurang selesa untuk menikmati makanan.

Al Amirul Mukminin, 26 ketika tinjauan ladang ayam di sekitar Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 22 September 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Menjelaskan bau kurang enak timbul setiap kali lori membawa muatan ayam melalui restorannya, beliau mencadangkan pihak berkuasa supaya kerap memeriksa kegiatan penternakan ayam.

"Bila lalat banyak, pelanggan pun jadi rasa tak selesa untuk makan. Kita sudah jaga kebersihan kedai tapi masalah itu (bau kurang enak) masih berlaku," katanya.

Penduduk, Jalil Atan, 70, pula berpendapat masalah gangguan akibat penternakan itu telah lama dirasai masyarakat setempat tetapi ia berkurangan kebelakangan ini berbanding sebelumnya.

Beliau meminta isu sedemikian terus dipantau dan berharap pemantauan dijalankan secara konsisten bagi mengurangkan masalah berkenaan terus berlarutan pada masa depan.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.