SERDANG, 11 SEPT: Pelbagai produk pertanian moden dan bernilai tinggi ditampilkan dalam Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) mulai hari ini hingga 22 September, produk tumpuan termasuk Vanilla Planifolia, sejenis tanaman orkid yang mempunyai nilai komersial tinggi.
EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata produk lain ialah ikan Gourami (ikan air tawar), jagung bijirin berkualiti tinggi, melon Selangor, kelapa dan nanas serta produk agropelancongan.
“Kali ini tema kita selaras Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA), iaitu mengetengahkan pemodenan pertanian dan produk bernilai tinggi.
[caption id="attachment_662816" align="aligncenter" width="664"] Buah melon antara produk bernilai tinggi yang ditawarkan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Maeps, Serdang mulai 11 hingga 22 September 2024. Foto Facebook Jabatan Pertanian Negeri Selangor[/caption]
“Kita mahu beri kesedaran kepada pengunjung kepentingan teknologi moden dalam pertanian supaya produk atau tanaman diusahakan lebih produktif dan efisien,” katanya ditemui di sini hari ini.
Menyasar kehadiran 50,000 pengunjung ke Pavilion Selangor, menurutnya, MAHA 2024 menjadi platform padanan perniagaan terbaik bagi syarikat dan usahawan negeri ini mengembangkan pasaran produk.
Ir Izham turut menyasar pemeteraian perjanjian kerjasama dan padanan perniagaan berikutan usahawan serta agensi bawah negeri mempunyai produk berpotensi tinggi untuk dieksport .
“Jadi datang beramai-ramai ke Pavilion Selangor untuk membawa pulang ada produk atau ilmu bermanfaat ke rumah menerusi pembelajaran secara interaktif yang kami sediakan,” katanya.
Bertemakan ‘Menuai Harapan, Membina Masa Hadapan’, pameran pertanian terbesar di Asia Tenggara itu menyediakan lebih 2,000 ruang jualan dan dibuka mulai jam 10 pagi hingga 10 malam.
MAHA 2024 menyasarkan nilai perjanjian persefahaman sebanyak RM6 bilion selain menarik kehadiran tiga juta pengunjung sepanjang 12 hari pameran berlangsung.