SHAH ALAM, 19 NOV: Sembilan stesen pemantauan paras air sungai di Selangor masih merekodkan bacaan melebihi tahap bahaya setakat jam 2.15 petang ini, meskipun beberapa lokasi menunjukkan trend penurunan.
Berdasarkan data portal InfoBanjir Selangor, lima stesen yang melepasi paras bahaya terletak di Kuala Selangor, masing-masing dua di Klang serta satu di Sepang dan Hulu Langat.
Di Kuala Selangor, Stesen Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.07 meter berbanding paras bahaya 7.8 meter, dengan trend air masih meningkat.
Stesen Kampung Asahan (F2) turut menunjukkan peningkatan kepada 3.405 meter berbanding paras bahaya 3 meter.
Tiga lagi stesen di daerah itu ialah Teluk Penyamun Jeti (F2) dengan bacaan 6.254 meter, Parit Mahang (F2) pada 4.443 meter dan Pintu Air Ijok (4.17 meter).
Bagaimanapun, trend paras air di Teluk Penyamun Jeti dan Parit Mahang (F2) menunjukkan penurunan, manakala Pintu Air Ijok tidak mencatatkan perubahan.
Sementara itu, dua stesen di Pekan Meru, Klang masih melepasi tahap bahaya, namun kedua-duanya kini menunjukkan trend penurunan.
Stesen Pekan Meru merekodkan bacaan 4.27 meter, manakala Pekan Meru (F2) mencatatkan 4.324 meter berbanding paras bahaya 4.2 meter.
Bacaan itu lebih rendah berbanding 4.48 meter dan 4.518 meter yang direkodkan di kedua-dua stesen berkenaan pada jam 9.06 malam semalam.
Dalam perkembangan sama, beberapa stesen lain berada pada tahap amaran dan berjaga-jaga, termasuk Parit Mahang di Kuala Selangor, Jambatan Sempadan Sabak Bernam/Teluk Intan (F2) serta Jambatan S.K.C di Hulu Selangor.
Pemantauan hujan pula menunjukkan Stesen Sungai Rinching dan Kampung Sungai Rinching (F2) di Hulu Langat masing-masing mencatatkan hujan lebat sebanyak 31 milimeter.
Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai dinasihatkan supaya terus berwaspada serta mengikuti perkembangan paras air melalui portal InfoBanjir Selangor.







