SHAH ALAM, 19 NOV: Enam daerah di Selangor dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 3 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam amaran terkininya memaklumkan kawasan terlibat ialah Hulu Langat, Sepang, Gombak, Hulu Selangor, Petaling dan Kuala Langat.
Keadaan cuaca sama turut dijangka melanda seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan dalam tempoh berkenaan.
Di Johor, amaran dikeluarkan bagi lima daerah, iaitu Johor Bahru, Kulai, Segamat, Kluang dan Batu Pahat.
Sementara itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sabah serta Wilayah Persekutuan Labuan sehingga jam 4 petang ini.
Di Sabah, kawasan terlibat ialah Sipitang, Beaufort dan Kuala Penyu di Pedalaman; Kota Belud dan Ranau di Pantai Barat; Lahad Datu di Tawau serta bahagian Sandakan dan Kudat.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran berkenaan bersifat jangka pendek dengan tempoh sah tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.




