Jambatan Bailey Kubu Gajah: Lapan bay sepanjang 24.4 meter siap dipasang

15 Nov 2026, 4:28 AM
Jambatan Bailey Kubu Gajah: Lapan bay sepanjang 24.4 meter siap dipasang
Jambatan Bailey Kubu Gajah: Lapan bay sepanjang 24.4 meter siap dipasang
Jambatan Bailey Kubu Gajah: Lapan bay sepanjang 24.4 meter siap dipasang

SHAH ALAM, 15 NOV: Sebanyak lapan bay struktur jambatan Bailey sementara sepanjang kira-kira 24.4 meter atau 80 kaki di Jalan Kubu Gajah, Sungai Subang siap dipasang setakat tengah malam tadi.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Petaling memaklumkan kemajuan itu dicapai selepas empat bay tambahan sepanjang 40 kaki atau 12.2 meter dipasang pada hari berkenaan.

Menurutnya, struktur jambatan turut dilancarkan sejauh tiga bay atau 30 kaki (9.1 meter) ke hadapan bagi meneruskan kerja pemasangan.

"Kerja bermula jam 9.30 pagi hingga tengah malam (14 Nov) dengan membabitkan pasukan Bailey JKR Daerah Petaling, JKR Daerah Klang dan Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ)," katanya dalam kenyataan.

JKR memaklumkan cuaca baik pada sebelah pagi sebelum hujan lebat antara jam 4 hingga 5 petang menyebabkan kerja terganggu.

Wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) meninjau struktur jambatan Bailey sementara di Jalan Kubu Gajah, Sungai Subang bagi memantau kerja pemasangan jambatan berkenaan. Foto Facebook JKR DAERAH PETALING

Bagaimanapun katanya, pemasangan disambung semula pada jam 5 petang dalam keadaan hujan renyai.

Pembinaan jambatan sementara itu susulan kejadian jambatan utama di Jalan Kubu Gajah runtuh kira-kira jam 2 pagi pada 4 November lalu akibat hujan lebat dan peningkatan paras air Sungai Subang.

Kejadian menyebabkan laluan menghubungkan Kampung Kubu Gajah dengan Paya Jaras Hilir terputus, sekali gus menjejaskan akses lebih 4,500 rumah di kawasan sekitar.

Susulan itu, Kerajaan Negeri mengambil tindakan membina jambatan Bailey sementara sepanjang kira-kira 35 meter bagi memulihkan perhubungan penduduk.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim sebelum ini memaklumkan pemasangan jambatan berkenaan dijadualkan bermula 13 November dan disasarkan siap menjelang akhir bulan ini.

Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM20 juta bagi membina jambatan kekal baharu yang lebih lebar, panjang dan tinggi bagi menampung aliran Sungai Subang serta mengurangkan risiko banjir.

JKR memaklumkan kerja pemasangan akan diteruskan hari ini (15 Nov) bagi memastikan jambatan sementara itu dapat disiapkan mengikut jadual dengan mengutamakan aspek keselamatan dan kualiti kerja.

"Pengguna jalan raya turut dinasihatkan supaya berhati-hati serta mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan kawalan trafik di sekitar kawasan pembinaan," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.