PUTRAJAYA, 19 NOV: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memantau bekalan makanan susulan banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini, namun setakat ini tiada laporan mengenai kenaikan paras air secara mendadak yang boleh menjejaskan bekalan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata FAMA sentiasa mendapatkan maklumat terkini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang perubahan yang boleh menjejaskan bekalan makanan.
“Kita memang (ada) agensi-agensi kita terutama FAMA yang akan mengambil maklumat dan sentiasa bertindak dengan segera.
“Setakat ini kita tidak dapat maklumat berlaku kenaikan (paras air) yang mendadak,” katanya kepada media pada Forum Keterjaminan Makanan yang diadakan sempena Festival of Ideas, berlangsung selama tiga hari di sini hari ini.
Mohamad berkata harga telur ketika ini juga menunjukkan sedikit penurunan berbanding kebiasaan, namun kementerian akan terus memantau sebarang perubahan harga dan bekalan sepanjang musim banjir.
Beliau berkata kementerian turut membuat persediaan bagi menghadapi keadaan cuaca yang dijangka berlaku termasuk fenomena El Nino, yang berpotensi memberi kesan kepada sektor pertanian dan perikanan.
“Dijangka tahun ini, El Nino mungkin menyebabkan suhu sampai 40 darjah Celsius dan dijangka berlaku sekitar Disember hingga April.
“Kita telah memberi taklimat kepada MADA (Lembaga Kemajuan Petanian Muda), KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) dan petani...tanam sayur supaya bersedia pada waktu itu, kita akan bertindak,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini memaklumkan El Nino yang mula mempengaruhi cuaca negara pada 2026 dijangka berterusan sehingga awal 2027 dengan keadaan lebih panas dan kering berpotensi meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu.
Mohamad berkata keadaan cuaca panas juga berpotensi menjejaskan pendapatan nelayan pantai apabila ikan bergerak ke kawasan perairan lebih dalam.
Bagaimanapun, beliau berkata stok ikan beku ketika ini mencukupi dan kerajaan akan meningkatkan bekalan sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku gangguan kepada hasil tangkapan.
“Buat masa sekarang, saya meletakkan jangan ada kebimbangan tentang kekurangan ikan pada waktu itu. Ada (import)...sekarang ini stok kita setakat ini mencukupi.
“Ikan sejuk beku itu termasuklah kita akan bawa dari Sabah, terutama sekali kerana ikan di sana agak murah,” katanya.
FOI Putrajaya 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 Nov menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon, termasuk 16 sesi perbincangan melibatkan 72 tokoh, ahli panel dan pembentang tempatan serta antarabangsa.
Festival itu turut disertai delegasi antarabangsa dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Turkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau.







