SERDANG, 30 OGOS: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memeterai tiga kerjasama strategik bernilai lebih RM600,000, bagi memperluas pasaran hasil pertanian tempatan, selain memperkasakan agroekonomi golongan asnaf di Selangor.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata kerjasama itu, mencerminkan komitmen FAMA memperkukuh padanan antara pengeluaran dan permintaan pasaran menerusi program AgriMatch.
Beliau berkata platform berkenaan menghubungkan pengeluar pertanian secara langsung dengan pemborong, rangkaian peruncitan dan industri perhotelan bagi memastikan hasil tempatan mempunyai akses pasaran yang lebih jelas.
“Pendekatan ini penting, bagi memastikan projek pertanian yang dilaksanakan bukan sekadar berorientasikan pengeluaran, sebaliknya mempunyai hala tuju dan akses pasaran yang jelas,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Persefahaman (MoU) antara FAMA dan rakan strategik bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.
Antara kerjasama itu ialah dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi Projek Agroekonomi Asnaf dan Fakir Miskin bernilai RM240,000 bagi tempoh dua tahun bermula hari ini hingga 30 Ogos 2028.
Chan berkata menerusi projek berkenaan, LZS akan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf untuk mengusahakan projek pertanian, manakala hasil jualan akan dipasarkan secara terus kepada syarikat perhotelan.
“Projek ini dilaksanakan di Bukit Beruntung, Mukim Batang Kali, melibatkan 48 peserta perintis berusia antara 22 hingga 62 tahun, dengan harapan ia memberi peluang ekonomi dan pendapatan mampan kepada golongan asnaf menerusi aktiviti pertanian.
“Daripada status mereka sebagai penerima zakat, kita berharap selepas ini mereka berupaya keluar daripada kepayahan hidup dan seterusnya beralih menjadi pembayar zakat,” katanya.
Dalam pada itu, FAMA turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bernilai RM200,000, bagi menyelaras pembekalan buah-buahan dan sayur-sayuran segar tempatan kepada rangkaian perhotelan.
Kerjasama itu membabitkan rangkaian hotel tempatan termasuk The Pearl KL dan Vivatel Hotel KL.
Antara hasil pertanian yang berpotensi dibekalkan menerusi kerjasama itu ialah nanas MD2, tembikai susu, rock melon, betik, pisang, tembikai, jambu air, jambu batu, limau bali Sabah, mangga, buah naga dan pearl guava.
Chan berkata inisiatif berkenaan dapat membantu menangani antara cabaran utama yang dihadapi pengeluar tempatan, iaitu memastikan hasil tanaman mempunyai pasaran yang berterusan.
Beliau berkata FAMA turut berperanan sebagai penghubung dengan memberi input kepada pengeluar mengenai jenis hasil yang sesuai diusahakan berdasarkan keperluan pasaran.
“FAMA juga menguruskan pengumpulan serta penghantaran hasil dari ladang ke Pusat Pengedaran FAMA sebelum disalurkan terus kepada rangkaian hotel terbabit,” katanya.







