KUALA TERENGGANU, 24 OKT: Sebanyak 4.63 juta rakyat telah mendapat manfaat daripada 3,344 siri Jualan Agro MADANI Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang diadakan di seluruh negara bermula 1 Jan hingga 11 Okt lepas.
Ketua Pegarah FAMA Faisal Iswardi Ismail berkata jualan itu melibatkan 54,124 usahawan dengan nilai jualan keseluruhan berjumlah RM77.65 juta, serta penjimatan pengguna sebanyak RM24.72 juta.
Beliau berkata pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan Jualan Agro MADANI sebagai platform strategik dalam membantu rakyat mengurus kos sara hidup, memperkukuh keterjaminan makanan serta meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.
"Secara keseluruhan, sepanjang tahun ini kita telah menganjurkan 3,344 sesi daripada 5,000 program yang kita sasarkan untuk 2026.
"Jualan Agro MADANI FAMA ini selain fokus kepada harga berpatutan atau penjimatan antara 10 hingga 30 peratus, kita juga sebenarnya menyediakan platform tambahan kepada usahawan-usahawan di seluruh negara. Insya-Allah kita jangka sebelum akhir Disember ini kita dapat laksanakan kesemua 5,000 siri yang kita sasarkan di seluruh negara," katanya pada sidang media Jualan Agro MADANI Mega Negeri Terengganu 2026, di Dataran Shahbandar, dekat sini hari ini.
Ahli Lembaga Pengarah FAMA Mohd Unit A. Bakar dan Pengarah FAMA Terengganu Muhamad Fadlee Hassan turut hadir.
Faisal Iswardi berkata Jualan Agro MADANI Mega Terengganu yang bermula dari 21 Okt hingga esok mencatat nilai jualan melebihi RM800,000 dalam tempoh tiga hari, melepasi sasaran RM690,000 yang ditetapkan untuk lima hari penganjuran.
Beliau berkata hingga esok, nilai jualan dijangka mampu mencecah RM1.3 juta dengan sasaran pengunjung melebihi 50,000 orang.
"Untuk tahun ini, FAMA menetapkan 10 lokasi penganjuran Jualan Agro MADANI Mega di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat, selaras dengan agenda kerajaan dalam memperkukuh agenda ekonomi agromakanan negara.
"Terengganu merupakan lokasi ketujuh penganjuran, diikuti dengan Jualan Agro MADANI Mega Khas di Melaka pada 6 Nov hingga 8 Nov, seterusnya di Sarawak (27 Nov hingga 29 Nov) dan terakhir di Johor pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak," katanya.
Dalam pada itu, Faisal Iswardi berkata bermula dari 1 Jan hingga Oktober, FAMA telah melaksanakan pembelian telur ayam sebanyak 35 juta biji dengan nilai RM13.4 juta untuk diedarkan ke 152 outlet pemasaran FAMA bagi membantu rakyat mendapat bekalan pada harga lebih berpatutan.
Sementara itu, seorang pengunjung Jualan Agro MADANI Mega Terengganu Shujairah Musa, 44, dari Kampung Seberang Marang, Marang berkata dia datang seawal 8 pagi untuk membeli baucar bakul makanan yang berharga RM5.
Ibu kepada empat anak berusia sembilan hingga 18 tahun itu berkata dengan diskaun harga yang ditawarkan, dia mampu menjimatkan perbelanjaan antara 20 hingga 30 peratus berbanding kos biasa.
"Dalam keadaan ekonomi sekarang, kita perlu bijak mengurus kewangan dan berbelanja. Jadi, saya ambil peluang hari ini untuk datang awal pagi membeli pelbagai barangan dapur seperti ayam, daging, telur dan minyak.
"Walaupun saya tinggal agak jauh, berbaloi untuk datang kerana barangan yang ditawarkan sangat murah. Contohnya, ayam hanya RM10 seekor, daging RM20 sekilogram dan minyak RM10 untuk dua kilogram," katanya.
Selain itu, seorang pesara kerajaan Ghazali Long, 72, dari Gong Badak berkata dia dan isterinya mengambil kesempatan untuk membeli sedikit barangan dapur serta buah-buahan yang segar.
"Saya memang suka berjalan-jalan ke program jualan sebegini kerana banyak barangan ditawarkan pada harga murah. Malah, sayur-sayuran dan buah-buahan juga dibawa segar dari ladang.
"Untuk keluarga yang ramai, memang berbaloi datang membeli di sini. Terima kasih kepada FAMA dan kerajaan MADANI yang sentiasa memikirkan inisiatif untuk membantu rakyat," katanya.







