BUKIT MERTAJAM, 26 SEPT: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah menganjurkan 2,855 program Jualan Agro MADANI di seluruh negara dengan nilai jualan RM67.11 juta dari awal tahun hingga 20 Sept yang memberikan manfaat kepada 16.24 juta isi rumah.
Pengerusi FAMA Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus berkata nilai penjimatan kepada pengguna mencapai RM21.56 juta menerusi jualan barangan agromakanan pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Beliau berkata penganjuran program itu merekodkan kehadiran 4.06 juta pengunjung dan penyertaan 46,611 usahawan, menunjukkan sambutan menggalakkan terhadap pelaksanaan inisiatif yang bertujuan menyediakan akses kepada bekalan agromakanan pada harga berpatutan.
“Pada tahun ini, FAMA menyasarkan pelaksanaan 4,457 program Jualan Agro MADANI dengan penyertaan 72,950 usahawan, nilai jualan RM94.4 juta dan penjimatan pengguna sebanyak RM28.3 juta selain turut menyasarkan kehadiran 5.4 juta pengunjung dengan unjuran manfaat kepada 22 juta isi rumah.
“Angka ini agak besar kerana kita berharap dapat membantu lebih ramai rakyat,” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Agro MADANI Mega Pulau Pinang 2026 di Lotus Seberang Jaya di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol merasmikan program itu.
Abang Ahmad Kerdee berkata dalam tempoh itu, Pulau Pinang merekodkan pelaksanaan 133 program daripada sasaran 168 program, melibatkan nilai jualan RM2.3 juta dan penyertaan 1,584 usahawan manakala baki penganjuran di negeri itu akan dilaksanakan hingga akhir tahun.
Beliau berkata penganjuran Jualan Agro MADANI Mega Pulau Pinang 2026 dari semalam hingga esok itu menghimpunkan 61 usahawan dari pelbagai negeri menerusi 64 lot jualan dengan sasaran 25,000 pengunjung dan nilai jualan RM550,000.
“Program hari ini juga menyediakan pelbagai pengisian termasuk Kombo MADANI, jualan Happy Hour, produk agromakanan segar, buah-buahan tempatan, produk jimat, trak makanan, hortikultur dan kraf tangan.
“FAMA mahu menjadikan program ini platform menyantuni rakyat dan usahawan di Pulau Pinang. Ia juga antara inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan agromakanan pada harga berpatutan serta menyediakan ruang pasaran secara terus kepada pengeluar dan usahawan,” katanya.
Abang Ahmad Kerdee berkata FAMA akan terus berperanan sebagai penghubung antara usahawan, pengeluar, pemain industri dan pengguna bagi memastikan hasil pertanian serta produk agromakanan tempatan mempunyai akses pasaran lebih meluas.
Program itu juga, menurut beliau memperkukuh peranan FAMA sebagai pemudah cara pemasaran agromakanan, khususnya dalam menghubungkan pengeluar, usahawan dan pengguna melalui platform pemasaran yang tersusun.
Beliau berkata pendekatan itu turut menyokong usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan, memperluas pasaran produk tempatan dan meningkatkan keterlibatan pengguna terhadap hasil serta produk agromakanan tempatan.
“Sambutan yang kita terima sangat menggalakkan malah ada pengunjung meminta ia dibuat setiap minggu di kawasan mereka, namun terdapat beberapa kekangan. Bagaimanapun, kita sedang melaksanakan kajian lapangan bagi melihat perkara itu,” katanya.
Pada majlis itu, FAMA turut menyampaikan Geran Insentif FAMA berjumlah RM344,940 kepada lima penerima bagi menyokong pembangunan kemudahan pemasaran termasuk Pusat Pengumpulan Ladang, Gerai Buah-Buahan Segar, Agrobazaar Kedai Rakyat dan Pusat Agropelancongan Balik Pulau.







