Premis sembelih ayam tidak patuh syarak didakwa minggu depan

19 Nov 2026, 11:06 AM
Premis sembelih ayam tidak patuh syarak didakwa minggu depan

SHAH ALAM, 19 NOV: Premis penyembelihan ayam di Puchong yang dipercayai melakukan kesalahan berkaitan hukum syarak dan pelesenan bakal berdepan pendakwaan minggu depan.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata premis yang beroperasi sejak 2004 itu akan didakwa atas beberapa kesalahan mengikut enakmen undang-undang syariah serta peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Seawal minggu depan, isu premis di Puchong ini ada sebutan kes dan pendakwaan bawah PBT dan juga enakmen undang-undang syariah,” katanya pada sesi Penggulungan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2026 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi berkata tindakan menyita premis penyembelihan yang tidak berlesen dilihat kurang sesuai memandangkan 5,000 ekor ayam dikomsumsi setiap hari.

Jelas beliau, walaupun operasi dijalankan tanpa lesen sah, namun ada antara pemilik menggunakan khidmat tukang sembelih yang bertauliah sekali gus mengurangkan keraguan isu halal bagi orang Islam.

“Kalau kita tutup semua (tak berlesen) akan hilang kapasiti tersebut. Banyak ayam diimport dari luar tetapi disembelih di sini. Nak dapatkan lesen PBT, kena syaratkan penyembelih bertauliah, untuk pastikan juga aspek keterjaminan makanan.

“Kebersihan ini wajar untuk semua, bukan umat Islam sahaja. Ini perubahan dasar yang kita akan laksanakan selepas sesi dewan (DNS) ini,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri mengenal pasti 11 pusat penyembelihan ayam tidak berlesen di Selangor, dengan enam premis sudah dikenakan tindakan sitaan manakala lima lagi bakal berdepan tindakan penguatkuasaan.

Tindakan terhadap enam premis itu dilaksanakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) susulan arahan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu lalu.

Menurutnya, arahan berkenaan menyasarkan premis penyembelihan ayam yang beroperasi tanpa lesen dan tidak mempunyai penyembelih bertauliah.

Pada Oktober lalu, Jabatan Agama Islam Selangor merampas lebih 6.5 tan metrik ayam mentah bernilai RM85,400 yang dipercayai diproses tanpa mematuhi kaedah sembelihan Islam menerusi Ops Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong.

Premis itu dipercayai digunakan untuk penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam tanpa sijil halal sah, selain didapati menggunakan kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik dalam proses pengendalian ayam.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.