RUU Pentadbiran Agama Islam Selangor 2026 lulus, perkukuh kedudukan fatwa negeri

6 Ogos 2026, 1:32 PM
RUU Pentadbiran Agama Islam Selangor 2026 lulus, perkukuh kedudukan fatwa negeri

SHAH ALAM, 6 OGOS: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Negeri (ADN) pada Persidangan DNS di Bangunan Dewan Negeri Selangor, hari ini.

EXCO Agama Islam berkata RUU itu bertujuan menambah baik beberapa peruntukan berkaitan tatacara pembuatan fatwa, memperjelas kedudukan fatwa negeri serta menyelaras proses berkenaan dengan keperluan semasa pentadbiran agama Islam.

Menurut Dr Mohammad Fahmi Ngah, pindaan tersebut turut memperjelaskan kedudukan fatwa yang diputuskan di peringkat negeri berhubung keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Pindaan ini memberi ruang kepada Selangor mempertimbangkan kesesuaian sesuatu fatwa yang diputuskan di peringkat kebangsaan sebelum diterima pakai di negeri ini mengikut mekanisme pembuatan fatwa yang ditetapkan.

“Sebelum ini timbul persoalan sama ada Selangor perlu menerima pakai semua fatwa daripada Jawatankuasa Muzakarah MKI. Melalui pindaan ini kita jelaskan bahawa hal ehwal Islam adalah bidang kuasa mutlak negeri.

“Kita tidak lagi meletakkan kewajipan secara mandatori untuk menerima fatwa di peringkat Persekutuan. Sebaliknya, ia boleh dipertimbangkan sama ada sesuai untuk diterima pakai atau sebaliknya dan keputusan ini dibuat melalui mekanisme pembuatan fatwa sebelum diperkenankan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor,” katanya pada sidang media selepas persidangan DNS hari ini.

Selain memperkemas tatacara pembuatan fatwa, Dr Fahmi berkata RUU itu turut menyusun semula struktur perundangan berkaitan Mahkamah Syariah melalui pemansuhan Bahagian IV Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 dan pengasingan peruntukan berkaitan Mahkamah Syariah ke dalam Enakmen Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026.

Beliau berkata pindaan itu turut memperkukuh bidang kuasa Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menyediakan bantuan guaman syarie serta menguruskan urusan harta pusaka orang Islam.

“Akta Persekutuan telah memberikan punca kuasa kepada MAIS untuk bertindak sebagai pengurus harta pusaka. Justeru, melalui pindaan ini kita memperincikan kuasa khusus itu dalam enakmen pentadbiran supaya pelaksanaannya lebih jelas dan berkesan.

“Tahap kepuasan pelanggan MAIS kini melebihi 90 peratus. Jadi kalau ada ruang untuk kita menambah baik peraturan atau enakmen sedia ada, kita akan lakukan.

"Tiada masalah untuk mewujudkan fasal-fasal perundangan yang memberi kuasa lebih khusus kepada MAIS supaya penyampaian perkhidmatannya terus dipertingkatkan,” katanya.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan, Dr Fahmi berkata pindaan itu turut menjelaskan kuasa MAIS dalam menyediakan perkhidmatan bantuan guaman syarie dan pengantaraan kepada masyarakat Islam di Selangor.

“MAIS juga boleh bertindak sebagai pempetisyen atau pemohon dalam prosiding pembahagian harta pusaka orang Islam selaras dengan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2022,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.