Selangor sasar negeri pertama laksana inisiatif Bandar AI, tingkat kecekapan perkhidmatan

14 Jun 2026, 1:00 AM
Selangor sasar negeri pertama laksana inisiatif Bandar AI, tingkat kecekapan perkhidmatan
Selangor sasar negeri pertama laksana inisiatif Bandar AI, tingkat kecekapan perkhidmatan
Selangor sasar negeri pertama laksana inisiatif Bandar AI, tingkat kecekapan perkhidmatan

SHAH ALAM, 14 JUN: Selangor menyasarkan menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan inisiatif Bandar AI yang mengaplikasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan bandar serta penyelesaian pelbagai isu awam.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata penggunaan AI akan membantu Kerajaan Negeri menganalisis data secara lebih menyeluruh bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan pengurusan di pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut beliau, teknologi berkenaan bukan sahaja berfungsi mengumpul data, malah mampu membantu kerajaan mengenal pasti penyelesaian dan hala tuju yang lebih tepat dalam pengurusan bandar.

"AI bukan sekadar mengumpulkan data tetapi membantu memberi hala tuju dan jawapan kepada persoalan pengurusan yang dihadapi kerajaan," katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu merupakan langkah seterusnya selepas Selangor muncul antara pelopor pembangunan bandar pintar (Smart City) sejak 2018.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berucap dalam Program Gen AI (Generative AI) Bagi Pelajar Selangor di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), Shah Alam pada 13 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Negeri Selangor memang menjadi pelopor kepada pembangunan Bandar Pintar sejak 2018 dan kini kita sedang dalam proses mendapatkan pengiktirafan sebagai Negeri Pintar.

"Ke hadapan, seiring inisiatif Bandar AI yang diperkenalkan Kementerian Digital, Selangor bercadang menjadi negeri pertama melaksanakannya di Malaysia bagi membantu menyelesaikan pelbagai permasalahan bandar melibatkan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penutupan program Generatif AI 2026 melibatkan pelajar seluruh Selangor di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) di sini semalam.

Dr Mohammad Fahmi menjelaskan, antara fokus awal yang sedang diteliti ialah penggunaan AI dalam sistem pengurusan trafik pintar yang menghubungkan kawasan bandar utama termasuk laluan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang merentasi Selangor.

"Itu antara inisiatif yang sedang dilaksanakan di peringkat Persekutuan melalui penggunaan sistem pengurusan trafik pintar yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Beliau menambah, selain pengurusan trafik, teknologi berkenaan turut berpotensi digunakan dalam pengurusan data alam sekitar seperti pemantauan kualiti udara bagi membantu mengenal pasti punca pencemaran serta menghasilkan analisis yang lebih tepat.

EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama Program Gen AI (Generative AI) Bagi Pelajar Selangor Soraya Sofya Nasarudin di Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), Shah Alam pada 13 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

"Sebagai contoh, jika kita mempunyai sensor kualiti udara di setiap PBT, data itu boleh disatukan dan dianalisis menggunakan AI untuk mengenal pasti corak pencemaran serta tempoh kualiti udara terbaik sepanjang tahun," jelasnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan mengadakan sesi libat urus melibatkan semua PBT di Selangor awal Julai ini bagi mengenal pasti perkhidmatan dan inisiatif yang sesuai disepadukan dengan teknologi AI.

"Kita akan memanggil semua PBT untuk menetapkan beberapa inisiatif dan perkhidmatan yang boleh disatukan melalui penggunaan AI di Selangor," ujarnya lagi.

Katanya, pengumuman rasmi berhubung pelaksanaan Bandar AI dijangka dibuat sebelum penghujung tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan Selangor peneraju transformasi digital dan teknologi kecerdasan buatan di Malaysia.

"Saya akan umumkan inisiatif Bandar AI ini sebelum hujung tahun," katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.