SHAH ALAM, 7 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) merangka pelbagai inisiatif pendigitalan bagi memperkasa penyampaian dakwah serta mendekatkan institusi agama dengan masyarakat menerusi pendekatan lebih interaktif, pantas dan responsif.
EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, menerusi Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Islam Selangor (HATIS) MAIS 2026-2030, beberapa inisiatif digital utama akan mula dilaksanakan tahun ini bagi memastikan mesej dakwah serta maklumat dapat disampaikan secara lebih berkesan dan mudah diakses masyarakat.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sekadar mendigitalkan perkhidmatan sedia ada, malah menyegarkan semula kandungan serta kaedah penyampaian dakwah mengikut keperluan semasa.
“Pendekatan yang kita ambil ini adalah untuk menyegarkan semula kandungan dakwah dan kaedah penyampaiannya dengan cara digital.
“Kita juga mahu wujudkan inisiatif digital yang rakyat boleh rujuk dan gunakan pada bila-bila masa, termasuk menyalurkan maklum balas berkaitan pengurusan masjid atau perkhidmatan tertentu menerusi saluran yang menjaga privasi mereka,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata pelaksanaan pelan strategik itu berasaskan enam teras utama dalam Dokumen HATIS iaitu perundangan dan kehakiman syariah; zakat, wakaf dan sumber am; pendidikan, akidah, dakwah dan kekeluargaan; masjid, surau dan pembangunan ummah; kebajikan dan ekonomi ummah serta tadbir urus dan kecemerlangan organisasi.
Menurutnya, antara inisiatif yang dibincangkan ialah pembangunan kandungan digital berkaitan dakwah, termasuk menghasilkan video pendek berasaskan mesej khutbah Jumaat yang ringkas bagi membolehkan intipati khutbah disampaikan secara lebih meluas menerusi platform digital.
“Kita mahu contohnya mesej penting daripada khutbah itu diterjemahkan dalam bentuk video kreatif selama kira-kira 30 saat supaya boleh disebarkan setiap minggu untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
“Begitu juga kandungan asas agama yang sering menjadi persoalan masyarakat boleh diterangkan melalui video pendek dengan kerjasama Jabatan Mufti Selangor,” katanya.
Menurutnya, pendekatan kandungan digital itu lebih bersesuaian dengan corak penerimaan maklumat generasi muda berbanding kaedah penyampaian konvensional.
“Kita mahu menggunakan pendigitalan untuk mengesankan lagi dakwah dan syiar Islam di Selangor melalui pendekatan yang lebih segar serta sesuai dengan cara masyarakat mendapatkan maklumat hari ini,” katanya.
Selain itu, katanya MAIS turut merancang membangunkan saluran digital bagi membolehkan masyarakat memberikan pandangan terhadap perkhidmatan dan pengurusan institusi agama termasuk masjid.
Katanya, maklumat yang dikumpulkan akan dianalisa bagi membantu MAIS menambah baik dasar serta perkhidmatan berdasarkan keperluan sebenar masyarakat.
“Kita tidak mahu hanya menyampaikan maklumat kepada rakyat tetapi juga mendengar pandangan mereka secara lebih menyeluruh.
“Maklum balas yang sah daripada rakyat Selangor akan membantu MAIS menggubal dasar yang lebih tepat serta benar-benar memenuhi keperluan umat Islam di negeri ini,” katanya.
End.









