Ada perkataan yang lahir daripada kamus. Ada yang lahir daripada agama, perdagangan, perang atau ilmu pengetahuan. Dan ada pula yang lahir daripada sebuah gurauan.
“OK” mungkin antara perkataan paling terkenal di dunia yang mempunyai asal-usul begitu sederhana.
Hari ini, hampir semua orang memahaminya. Orang Amerika menggunakannya. Orang Melayu menggunakannya. Orang Jepun, Arab, Perancis, Jerman dan pelbagai bangsa lain turut menggunakannya dalam bentuk masing-masing.
Kita boleh berkata “OK” tanpa pernah terfikir dari mana ia datang. Namun sebelum menjadi perkataan global, “OK” pernah hanyalah permainan bahasa dalam sebuah akhbar Amerika.
Pada 23 Mac 1839, Boston Morning Post mencetak “O.K.” sebagai singkatan jenaka bagi “oll korrect”, iaitu ejaan sengaja salah untuk “all correct”.
Ia bukan istilah akademik. Bukan ciptaan seorang tokoh bahasa. Bukan juga perkataan yang dirancang untuk mengubah dunia. Ia sekadar gurauan bahasa yang diguna pakai secara rawak.
Tetapi sejarah bahasa mempunyai satu sifat yang menarik iaitu sesuatu perkataan tidak semestinya menjadi penting kerana asal-usulnya penting. Kadang-kadang ia menjadi penting kerana manusia terus menggunakannya.

Jika kita semak tulisan Allan Metcalf — OK: The Improbable Story of America’s Greatest Word. Buku ini memang khusus menceritakan sejarah “OK” — daripada kemunculannya dalam akhbar Boston pada 1839, penggunaannya dalam politik Martin Van Buren, perkembangan melalui telegraf, hinggalah penyebarannya ke seluruh dunia.
Dalam pilihan raya Presiden Amerika Syarikat pada 1840, Martin Van Buren yang berasal dari Kinderhook, New York, dikenali sebagai “Old Kinderhook”. Penyokongnya menggunakan singkatan “O.K.” dan membentuk “O.K. Club”.
Sebuah permainan bahasa kini masuk ke dalam politik. Daripada halaman akhbar, ia bergerak ke kempen pilihan raya. Daripada jenaka, ia menjadi slogan. Daripada slogan, ia terus hidup dalam masyarakat.
Kemudian berlaku sesuatu yang lebih besar. Orang mula menggunakan “OK” tanpa perlu mengetahui sejarahnya. Makna asalnya semakin hilang daripada ingatan, terlupakan dek kerana ia menjadi satu ‘gaya’ bahasa yang ‘chic’, dan perkataannya terus hidup.
“OK” akhirnya digunakan oleh semua orang, ia boleh bermaksud – baik, betul, diterima, setuju atau tiada masalah. Dan daripada situ, “OK” mula menunjukkan satu hukum penting dalam bahasa bahawa asal-usul perkataan tidak semestinya menentukan maknanya selama-lamanya. Masyarakatlah yang menentukan bagaimana sesuatu perkataan itu hidup dan diterima.
Menyerap dalam bahasa Melayu
Bahasa Melayu sendiri bukan bahasa yang hidup dalam ruang tertutup. Sejarah bahasa Melayu ialah sejarah pertembungan. Semua tahu bahasa Melayu sejak abad ke 15 sudah menjadi ‘lingua franca’ di rantau ini.
Sanskrit meninggalkan jejaknya. Bahasa Arab datang bersama Islam. Portugis, Belanda dan Inggeris pula meninggalkan pengaruh melalui perdagangan, penjajahan, pendidikan dan pentadbiran.
Kita menggunakan perkataan seperti meja, almari, sekolah, pejabat dan kereta tanpa lagi merasakan semuanya sebagai “orang luar”. Ini kerana bahasa tidak mempunyai pintu imigresen.
Gugusan perkataan masuk menjadi perbendaharaan bahasa Melayu. Masyarakat memilih menjadi bahasa pertuturan. Sebahagiannya hilang. Sebahagiannya kekal. Sebahagiannya pula berubah fungsi mengikut evolusi sosial, zaman berzaman.
“OK” ialah contoh moden yang menarik. Ia tidak masuk ke dalam bahasa Melayu kerana kita memerlukan nama untuk sesuatu benda.
Ia masuk sebagai cara berkomunikasi.
“OK, kita pergi.”
“OK, saya faham.”
“Semua dah OK.”
“Tak OK lah macam ni.”
“OK ke kalau saya datang esok?”
Perhatikan baik-baik, kita bukan sekadar menggunakan perkataan Inggeris sebaliknya kita sudah memasukkannya ke dalam cara kita membina ayat Melayu. Malah kita boleh menambah unsur Melayu kepadanya: ‘OK lah’. Lah itulah MELAYU.
Di sinilah proses bahasa menjadi lebih menarik. Perkataan itu datang dari luar, tetapi penggunaannya mula disesuaikan dengan budaya pertuturan tempatan. Itulah yang membezakan antara meminjam perkataan dengan menghidupkan perkataan dalam budaya sendiri.
Dalam bahasa Melayu moden, “OK” juga tidak mempunyai satu makna yang tetap.
“OK.” - Boleh bermaksud setuju. Boleh bermaksud faham. Boleh bermaksud menerima. Boleh juga bermaksud seseorang sudah tidak mahu meneruskan perdebatan. Kadang-kadang “OK” bermaksud:
“Aku dengar.” Tetapi belum tentu: “Aku setuju.”
Dan dalam komunikasi digital, satu perkataan yang sama boleh berubah makna hanya kerana tanda baca “OK” dan “OK…” boleh terasa sangat berbeza.
Begitu juga: “OK” – “Okay” – “ok” - “OK lah” - “Tak OK.” Bahasa tidak lagi hanya berada pada kamus. Tetapi makna berada pada konteks. Pada hubungan antara dua orang, keadaan termasuk nada ia diluahkan atau diucapkan. Dan dalam dunia digital, kadang-kadang pada satu titik pun.
Kemudian datang telefon pintar. WhatsApp, Telegram, Instagram dan pelbagai bentuk komunikasi digital menjadikan bahasa semakin pendek.
Ayat yang dahulu memerlukan satu baris kini boleh dipendekkan kepada satu perkataan.
“Baik, saya akan datang nanti.” – Menjadi “OK.”
“Saya faham apa yang awak maksudkan.” – Menjadi “OK, faham.”
Bahasa digital tidak hanya memendekkan ayat. Ia memendekkan proses komunikasi. Kita tidak lagi sentiasa memerlukan ayat lengkap untuk menyampaikan maksud.
Dan “OK” sangat sesuai dengan zaman ini. Dua huruf, ia cepat, mudah dan fleksibel.
Tetapi pada masa yang sama, ia boleh membawa banyak lapisan emosi. Sebab itu “OK” dalam WhatsApp bukan sekadar perkataan. Ia menjadi sebahagian daripada seni membaca manusia melalui bahasa yang sangat sedikit.
Ancam bahasa?
Ada kemungkinan orang melihat penggunaan “OK” sebagai tanda bahasa Melayu semakin dipengaruhi bahasa Inggeris.
Tetapi bahasa tidak pernah berkembang dengan cara begitu mudah. Bahasa Melayu sendiri berubah sepanjang sejarah kerana pertembungan dengan pelbagai budaya. Soalnya bukan sama ada bahasa menerima perkataan asing. Bahasa memang akan menerimanya.
Soalnya ialah: Apa yang masyarakat lakukan terhadap perkataan itu selepas mereka menerimanya?
Jika kita hanya mengulang perkataan asing dengan makna asalnya, itu satu bentuk pinjaman.
Tetapi apabila perkataan itu masuk ke dalam ayat Melayu, bergabung dengan partikel Melayu, digunakan dalam hubungan sosial kita dan memperoleh nuansa yang berbeza mengikut konteks masyarakat kita, berlaku sesuatu yang lebih besar.
Bahasa sedang melakukan kerja budaya. Ia sedang mengolah sesuatu yang datang dari luar menjadi sebahagian daripada kehidupan sendiri.
Mungkin inilah sebabnya kita tidak perlu terlalu panik setiap kali bahasa berubah.
Bahasa bukan muzium. Ia bukan koleksi perkataan lama yang mesti disimpan di bawah kaca supaya tidak disentuh zaman. Bahasa ialah benda hidup. Ia berevolusi bersama budaya hidup manusia.
Apabila masyarakat berubah, bahasa berubah. Apabila teknologi berubah, bahasa berubah. Apabila cara manusia berhubung berubah, bahasa turut mencari bentuk baharu.
“OK” menunjukkan semua itu dengan cara yang sangat kecil. Ia bermula sebagai gurauan ejaan di Amerika. Kemudian masuk ke dalam politik. Kemudian menjadi perkataan global.
Kemudian sampai ke dalam perbualan orang Melayu. Dan akhirnya kita sendiri menggunakannya dalam bentuk yang sesuai dengan kehidupan kita.
Daripada: “oll korrect” kepada “OK, kita jalan.”
Hampir dua abad perjalanan bahasa hanya untuk menghasilkan satu perkataan yang hari ini kita ucap tanpa berfikir. Tetapi mungkin itulah sifat budaya.
Budaya tidak semestinya hadir dalam bentuk tarian, pakaian, makanan atau bangunan lama. Budaya juga hidup dalam perkataan yang kita ucap setiap hari.
Dan di situlah “OK” menjadi menarik. Ia bukan perkataan Melayu asal. Tetapi sesuatu tidak semestinya perlu lahir dalam budaya kita untuk akhirnya menjadi sebahagian daripada budaya kita.
Apabila masyarakat mengambilnya, menggunakannya, mengubah konteksnya dan memberinya makna dalam kehidupan sendiri, perkataan itu sudah mempunyai sejarah baharu.
Maka sejarah “OK” sebenarnya bukan sekadar sejarah sebuah perkataan. Ia adalah sejarah bagaimana bahasa bergerak. Bagaimana budaya menerima pengaruh.
Dan bagaimana manusia akhirnya menjadikan sesuatu yang datang dari luar sebagai sebahagian daripada cara mereka sendiri berkomunikasi.
Itulah perjalanan bahasa.
Dan mungkin, dalam beberapa puluh tahun lagi, apabila orang melihat kembali bahasa Melayu pada zaman kita, mereka akan menemui banyak perkataan yang hari ini kita anggap biasa.
Termasuk satu perkataan kecil, dua huruf sahaja: OK.
Barangkali mereka akan bertanya dari mana ia datang. Tetapi yang lebih menarik ialah soalan yang lain, bagaimana orang Melayu pada zaman kita telah menjadikannya milik mereka sendiri?
Sama seperti muzik Ghazal, lihat instrumennya, violin – bukan dari nusantara, gambus/oud – juga bukan dari Tanah Melayu, lihat marakas, harmonium, tabla, gitar, semua itu alat muzik yang datang dari luar kepulauan Melayu. Tetapi kini kita kata ia muzik tradisional Melayu, kerana memiliki jiwa Melayu. Bagaimana ia berlaku?
*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air



