Bawa karya tempatan ke pentas antarabangsa

31 Mac 2026, 4:40 AM
Bawa karya tempatan ke pentas antarabangsa

Gagasan menjadikan Selangor sebagai ‘kota sastera’ merupakan satu langkah yang menarik dalam usaha memperkukuh ekosistem budaya dan intelektual negara.

Inisiatif yang dibincangkan dalam program Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor baru-baru ini memperlihatkan kesedaran bahawa sastera bukan sekadar produk budaya domestik, tetapi juga instrumen pembinaan identiti dan pengaruh intelektual di peringkat antarabangsa.

Namun, untuk memastikan gagasan kota sastera benar-benar berfungsi sebagai jambatan budaya global, satu cabaran besar perlu dihadapi secara serius - penterjemahan karya sastera Melayu ke bahasa utama dunia, khususnya bahasa Inggeris dan Mandarin.

Tanpa agenda penterjemahan yang jelas, konsep kota sastera berisiko menjadi sekadar slogan budaya. Hakikatnya, sejarah kesusasteraan dunia menunjukkan bahawa sesebuah tradisi sastera hanya benar-benar dikenali di peringkat antarabangsa apabila karya utamanya diterjemahkan secara meluas.

Tradisi sastera Rusia, Amerika Latin dan Jepun, misalnya, hanya mencapai pengaruh global selepas karya-karya penting mereka diterjemahkan ke bahasa Inggeris kemudian ke pelbagai bahasa lain. Begitu juga dengan sastera Arab (Timur Tengah), juga berkembang hasil penterjemahan yang dibuat secara sistematik.

Dalam konteks Peradaban Melayu Nusantara, kita sebenarnya memiliki khazanah sastera yang kaya dan berlapis.

Tokoh-tokoh besar seperti Usman Awang, A. Samad Said dan Shahnon Ahmad dan ramai lagi termasuk penulis muda, telah menghasilkan karya yang bukan sahaja menggambarkan realiti sosial dan sejarah Malaysia, tetapi juga memuatkan nilai kemanusiaan yang bernilai universal.

Namun akses pembaca antarabangsa terhadap karya-karya ini masih sangat terbatas kerana sebahagian besar daripadanya belum diterjemahkan secara sistematik dan meluas.

Di sinilah peranan penterjemahan menjadi sangat kritikal. Kota sastera tidak boleh hanya diukur melalui jumlah festival, forum atau seminar yang dianjurkan. Ia perlu diukur melalui sejauh mana karya tempatan dapat menembusi pasaran pembaca global.

Tanpa penterjemahan, sastera Melayu akan terus berada dalam ruang linguistik yang sempit walaupun nilai estetik dan intelektualnya cukup tinggi.

Tumpuan kepada bahasa Inggeris mempunyai rasional yang jelas. Bahasa ini masih berfungsi sebagai lingua franca dunia dalam bidang akademik, penerbitan dan budaya popular (pop culture).

Sebahagian besar rangkaian penerbitan global beroperasi dalam ekosistem bahasa Inggeris, sama ada di Amerika Syarikat, United Kingdom, mahupun pusat penerbitan antarabangsa lain.

Terjemahan ke bahasa Inggeris sering menjadi ‘pintu masuk’ yang membolehkan karya dari bahasa kecil mendapat perhatian dunia sebelum diterjemahkan ke bahasa lain.

Banyak karya sastera yang kini dianggap klasik dunia sebenarnya mula dikenali melalui terjemahan Inggeris. Fenomena ini menunjukkan bahawa penguasaan bahasa pengantara global amat penting dalam memperluas pengaruh sesuatu tradisi sastera.

Jika karya-karya besar Melayu dapat diterjemahkan dengan berkualiti ke bahasa Inggeris, ia bukan sahaja membuka akses kepada pembaca antarabangsa, tetapi juga memudahkan kemasukan karya tersebut ke dalam kurikulum universiti dan kajian kesusasteraan perbandingan di seluruh dunia.

Dalam masa yang sama, fokus kepada bahasa Mandarin juga semakin relevan dalam konteks perubahan geopolitik global. Kebangkitan ekonomi dan pengaruh budaya China telah mengubah landskap kuasa dunia dalam tempoh dua dekad terakhir.

Pasaran pembaca berbahasa Mandarin kini merangkumi ratusan juta orang di China, Taiwan, dan komuniti diaspora di seluruh dunia. Industri penerbitan Mandarin juga semakin aktif menerjemahkan karya sastera dari pelbagai negara.

Dalam konteks Asia, hubungan budaya antara dunia Melayu dan dunia Cina sebenarnya mempunyai sejarah panjang melalui perdagangan dan migrasi.

Oleh itu, penterjemahan karya sastera Melayu ke bahasa Mandarin bukan sekadar strategi pasaran, tetapi juga sebahagian daripada dialog peradaban Asia yang lebih luas.

Dalam dunia yang semakin beralih daripada dominasi Barat kepada konfigurasi kuasa yang lebih multipolar, pengembangan jaringan budaya dengan ruang bahasa Mandarin menjadi semakin penting.

Perubahan geopolitik ini juga memberi kesan kepada ekonomi kreatif global. Negara yang berjaya memasarkan karya budaya mereka dalam pelbagai bahasa biasanya mempunyai pengaruh budaya yang lebih luas.

Fenomena gelombang budaya dari Korea Selatan misalnya menunjukkan bagaimana strategi penterjemahan dan penyebaran bahasa memainkan peranan penting dalam menjadikan produk budaya tempatan sebagai fenomena global.

Namun begitu, penterjemahan sastera bukan sekadar kerja linguistik yang mudah. Sastera sarat dengan metafora budaya, simbol sejarah dan konteks sosial yang tidak selalu mempunyai padanan langsung dalam bahasa lain.

Penterjemah perlu memahami bukan sahaja struktur bahasa, tetapi juga jiwa budaya yang melahirkan sesuatu karya.

Disinilah cabaran besar yang perlu ditangani khususnya oleh pemerintah tentang bagaimana cara terbaik, untuk kita menghasilkan lebih ramai penterjemah bertauliah.

Di Malaysia, jumlah penterjemah sastera profesional masih kecil. Kebanyakan penterjemahan dilakukan secara sporadik oleh ahli akademik atau individu yang berminat dalam kesusasteraan.

Tanpa pelaburan institusi yang serius dalam melatih penterjemah dan membina jaringan penerbitan antarabangsa, agenda globalisasi sastera Melayu akan bergerak perlahan.

Selain itu, pemilihan karya juga perlu dilakukan secara strategik. Karya yang dipilih harus mempunyai kekuatan naratif dan tema universal yang mampu menarik minat pembaca global.

Antara karya yang sering disebut dalam perbincangan ini ialah novel Salina karya A. Samad Said, yang menggambarkan pengalaman masyarakat pascaperang dengan sensitiviti kemanusiaan yang mendalam.

Di sinilah peranan sebenar penterjemahan — bukan sekadar memindahkan bahasa, tetapi membuka ruang dialog antara tamadun.

Akhirnya, gagasan kota sastera yang tepat ini, perlu disertai dengan visi global yang jelas. Festival dan dialog memang penting untuk membina jaringan intelektual, namun gerak kerja itu perlu dibuat dengan teliti dan agresif.

Akhirnya, masa depan kota sastera sebenarnya bergantung kepada sejauh mana karya sastera Melayu mampu melintasi sempadan bahasa dan memasuki ruang pembacaan antarabangsa.

Tanpa strategi penterjemahan yang sistematik ke bahasa Inggeris dan Mandarin atau lain-lain bahasa yang dipilih, sastera Melayu boleh terperangkap dengan gagasan syok sendiri.

Tetapi jika usaha penterjemahan ini digerakkan secara strategik, kota sastera berpotensi menjadi bukan sahaja pusat kegiatan budaya tempatan, tetapi juga gerbang yang membawa suara sastera Melayu ke pentas dunia.

Kita tidak pernah kering dengan idea, tetapi idea hanya berkesan jika kita mampu melaksanakannya dengan sasaran yang betul.

*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.