Selama ini kita melihat ASEAN melalui peta politik.
Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Filipina, Vietnam, Laos, Kemboja dan Myanmar ialah negara berdaulat yang mempunyai sempadan, kerajaan dan kepentingan nasional masing-masing.
Kebanyakkan dari perbincangan kita tentang ASEAN, berkisar mengenai perdagangan, pelaburan, keselamatan, geopolitik dan persaingan kuasa besar. Tetapi ada satu lagi cara melihat ASEAN iaitu melalui budaya.
Dan mungkin di sinilah kita perlu kembali kepada satu persoalan asas: sejauh mana sempadan negara hari ini benar-benar menggambarkan sempadan budaya masyarakat Asia Tenggara?
Pada 2026, UNESCO meneruskan inisiatif Embracing Shared Heritage through Performing Arts, yang menghubungkan seniman dari Indonesia, Malaysia dan Singapura untuk menghasilkan karya seni persembahan bersama berdasarkan warisan yang dikongsi. Hasil kerjasama itu dijadual dipersembahkan di Yogyakarta pada Oktober-November 2026.
UNESCO juga sedang menggerakkan projek Shared Heritage: Museums in South-East Asia yang melibatkan muzium dari 10 negara, termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
Projek itu cuba mengubah cara sejarah dan warisan Asia Tenggara diceritakan bukan semata-mata melalui perspektif nasional, tetapi melalui hubungan budaya yang merentasi sempadan.
Ini bukan sekadar program seni. Ia membawa satu gagasan yang lebih besar: mungkin budaya Asia Tenggara perlu dilihat sebagai jaringan yang saling berkait, bukan koleksi budaya nasional yang berdiri sendiri.

ASEAN lahir pada 1967. Tetapi hubungan budaya masyarakat rantau ini jauh lebih tua daripada itu. Gugusan ini lama dikenali menerusi ‘laluan rempah’ atau dalam istillah sejarah, The Maritime Spice Route.
Perdagangan, penghijrahan, perkahwinan, bahasa, agama, kesenian dan pertukaran pengetahuan berlaku berabad-abad lamanya. Laut yang hari ini kita lihat sebagai sempadan negara pernah menjadi jalan yang menghubungkan masyarakat.
Maka, mungkin kita perlu melihat ASEAN dari perspektif Nusantara, bukannya mengatakan ASEAN itu sendiri ialah Nusantara. Malah, pengaruh bahasa Melayu atau proto-Melayu, tersebar meluas di gugusan negara-negara ASEAN.
Perbezaannya penting. ASEAN ialah projek politik serantau. Tetapi nusantara ialah satu kerangka sejarah dan budaya yang membantu kita memahami sebahagian daripada jaringan masyarakat di rantau ini.
Kita sering berdepan dengan persoalan: siapa punya batik? Siapa punya wayang kulit? Siapa punya pantun? Siapa punya makanan tertentu?
Soalan itu lahir daripada cara fikir negara bangsa. Kita mahu setiap budaya mempunyai pemilik nasional. Malaysia mahu mengenali apa yang ‘Malaysia’.
Indonesia mahu mengenali apa yang ‘Indonesia’. Begitu juga negara-negara lain. Tetapi budaya tidak semestinya berkembang begitu.
Pantun, misalnya, bukan sekadar produk negara moden. Kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam pengiktirafan pantun sebagai warisan tidak ketara UNESCO menunjukkan sesuatu warisan boleh mempunyai identiti yang dikongsi.
Di sinilah kita perlu mengubah pertanyaan. Daripada bertanya: “Budaya ini milik siapa?” kita mungkin patut bertanya: “Bagaimana budaya ini bergerak sehingga menjadi sebahagian daripada identiti kita bersama?”
Pertanyaan kedua jauh lebih produktif. Ia tidak menghapuskan identiti nasional. Sebaliknya, ia meletakkan identiti nasional dalam konteks sejarah yang lebih panjang.
Menariknya, ASEAN sendiri sebenarnya sudah mengiktiraf dimensi ini. Dalam ASEAN Socio-Cultural Community, cita-citanya ialah membentuk komuniti yang dinamik dan harmoni, yang mempunyai kesedaran serta kebanggaan terhadap identiti, budaya dan warisannya.
Deklarasi ASEAN mengenai Warisan Budaya pula mengiktiraf bahawa warisan budaya nasional negara anggota merupakan sebahagian daripada warisan Asia Tenggara dan memerlukan kerjasama ASEAN untuk dilindungi, dipelihara dan dipromosikan.
Maknanya, idea tentang warisan bersama ASEAN bukan sesuatu yang kita cipta hari ini. Yang mungkin belum cukup kita lakukan ialah mengubah cara kita melihatnya.
Selama ini, identiti ASEAN banyak dibincangkan dari atas melalui kerajaan, sidang kemuncak dan dokumen rasmi. Budaya pula bergerak dari bawah. Ia bergerak melalui manusia, bahasa, makanan, muzik, keluarga, migrasi sosial dan perdagangan dan seni.
Kita boleh menjadi rakyat Malaysia tanpa perlu menafikan sebahagian daripada sejarah dan budaya kita berkait rapat dengan masyarakat di Indonesia, Brunei, Singapura dan wilayah lain di Asia Tenggara.
Malah, mengenali hubungan itu mungkin menjadikan identiti nasional kita lebih matang. Kita tidak lagi melihat budaya sebagai tembok, sebaliknya kita melihatnya sebagai jambatan.
Ini mungkin perkara yang paling penting. Semua tahu, ASEAN sudah mempunyai naratif politik, naratif ekonomi, naratif keselamatan. Tetapi kita tidak boleh ketepikan bahawa ASEAN juga memerlukan naratif budaya yang mampu dirasakan oleh rakyat biasa.
Jika ASEAN hanya dikenali melalui mesyuarat menteri, sidang kemuncak dan angka perdagangan, ia akan terus menjadi projek yang dikuasai oleh elit.
Tetapi jika seorang rakyat Malaysia boleh mengenali muzik, makanan, bahasa, cerita dan sejarah masyarakat jiran sebagai sebahagian daripada pengalaman serantau yang saling berkait, ASEAN akan menjadi lebih dekat dengan kehidupan manusia.
UNESCO sedang menunjukkan satu jalan melalui pendekatan shared heritage bukan memaksa negara-negara menjadi sama, tetapi menggalakkan mereka melihat hubungan yang sudah lama wujud.
Projek seni persembahan yang menggabungkan Indonesia, Malaysia dan Singapura, serta projek muzium yang merentas beberapa negara Asia Tenggara, menunjukkan bahawa budaya boleh menjadi ruang untuk membina kefahaman serantau.
Mungkin inilah bentuk integrasi ASEAN yang paling semula jadi. Kita tidak perlu menjadi satu bangsa. Kita tidak perlu mempunyai satu budaya. Kita tidak perlu menghapuskan identiti nasional.
Sebaliknya, kita hanya perlu menyedari bahawa perbezaan kita hidup di atas sejarah hubungan yang jauh lebih tua daripada sempadan politik hari ini.
Barangkali sudah tiba masanya kita mempunyai dua peta ASEAN.
Satu ialah peta politik. Di situ ada sempadan Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan negara-negara lain.
Satu lagi ialah peta budaya. Di situ mungkin sempadannya tidak begitu jelas. Bahasa bergerak melintasi sempadan. Muzik, makanan, sastera dan seni tampak terus bergerak.
Dalam konteks itu, Nusantara bukan jawapan kepada imej ASEAN, tetapi ia adalah jati diri dan semangat budaya yang berteraskan budaya laut dan tanah.
Dan mungkin persoalan terbesar untuk generasi kita bukan lagi tentang “Budaya ini milik siapa?” Tetapi: “Apakah yang boleh kita bina bersama daripada budaya laut (maritim) dan tanah?”
Jika ASEAN mahu menjadi sebuah komuniti yang benar-benar berakar pada rakyatnya, mungkin masa depannya tidak hanya terletak pada ekonomi dan geopolitik.
*Darma Sari merupakan seorang pengamat seni dan budaya tanah air







