SHAH ALAM, 19 NOV: Runtuhan tanah di lereng bukit berdekatan Pangsapuri Sri Pinang di Persiaran Setia Makmur, Setia Alam, di sini hari ini dilaporkan tidak melibatkan sebarang mangsa.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar dalam kenyataan berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 11.30 pagi tadi.
Beliau berkata operasi itu disertai oleh sepasukan tujuh pegawai dan anggota bersama-sama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Klang Selatan.
"Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati berlaku tanah runtuh di lereng bukit kawasan itu yang dianggarkan setinggi 30 x 50 meter.
“Keadaan tanah didapati statik dan kejadian tidak melibatkan mangsa serta bangunan," katanya dan menambah tindakan lanjut kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis.
Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi hantaran di aplikasi Thread memaklumkan jalan di persiaran tersebut telah ditutup buat sementara waktu atas faktor keselamatan.

Hantaran itu memaklumkan tali keselamatan dan tali rentang telah dipasang di sekitar kawasan terlibat bagi menghalang pengguna jalan raya daripada memasuki kawasan berisiko.
“Papan tanda amaran turut diletakkan sebagai pemakluman kepada pengguna jalan raya berkaitan dengan kejadian dan penutupan laluan tersebut.
“Susulan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi arahan penutupan jalan serta menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan dilaksanakan,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi video dan gambar yang memaparkan jalan di kawasan tersebut ditutup sebagai langkah keselamatan dengan dikawal pihak berkuasa.







