Tanah runtuh Taman Jasmin: Lapan keluarga dibenar pulang semula

10 Nov 2026, 7:28 AM
Tanah runtuh Taman Jasmin: Lapan keluarga dibenar pulang semula
Tanah runtuh Taman Jasmin: Lapan keluarga dibenar pulang semula

SHAH ALAM, 10 NOV: Lapan keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Jalan Jasmin 21, Taman Jasmin, Kajang dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas struktur rumah disahkan masih selamat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang David Cheong berkata perkara itu dimaklumkan dalam sesi dialog antara penduduk terjejas dengan Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pagi ini.

"Penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kerana struktur kediaman masih selamat," katanya kepada Media Selangor.

Menurut David, MPKj akan segera melaksanakan kerja pembaikan di kawasan tanah runtuh berkenaan yang dijangka dapat diselesaikan paling cepat dalam tempoh tiga bulan.

Kerja pemasangan kanvas dilaksanakan di kawasan cerun yang runtuh berhampiran kediaman penduduk di Taman Jasmin, Kajang bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk susulan kejadian tanah runtuh pada 9 November 2026. Foto Facebook Syahredzan Johan

Bagaimanapun, kaedah pembaikan akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan keadaan tanah oleh perunding.

"MPKj akan segera melaksanakan kerja pembaikan. Paling cepat, kerja ini boleh diselesaikan dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Majlis MPKj Zon 15 Ong Seng Peng meninjau lokasi kejadian bagi melihat keadaan kawasan terjejas serta situasi dihadapi penduduk.

David turut memberi jaminan akan terus memantau perkembangan kejadian dan berhubung dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan susulan diberikan perhatian sewajarnya.

Ahad lalu, penghuni lapan rumah di Taman Jasmin dinasihatkan berpindah sementara sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian tanah runtuh kira-kira jam 7 malam.

Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dilaporkan berkata kejadian ketika hujan lebat menyebabkan sebahagian cerun di belakang kediaman penduduk runtuh, namun tiada kecederaan atau kerosakan langsung pada rumah dilaporkan.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.