WiFi Smart Selangor dijenama semula, perkasa pengurusan masjid digital

17 Nov 2026, 8:45 AM
WiFi Smart Selangor dijenama semula, perkasa pengurusan masjid digital

SHAH ALAM, 17 NOV: Kemudahan WiFi Smart Selangor akan dijenamakan semula dan diperluaskan penggunaannya ke semua masjid di bawah pengurusan negeri bagi menyokong pelaksanaan sistem pengurusan masjid digital.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Fahmi Ngah berkata kemudahan itu akan dipertingkatkan dengan kelajuan internet minimum 500 Mbps, selain ciri keselamatan lebih ketat bagi memastikan penggunaannya terkawal.

Menurutnya, penambahbaikan ciri keselamatan itu bertujuan menghalang akses kepada laman web tidak sesuai, termasuk perjudian, selain mengurangkan risiko kegiatan penipuan dalam talian.

EXCO Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap pada sidang media sempena persidangan Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annexe, Shah Alam, pada 17 November 2026. Foto ADAM DARWISH/MEDIA SELANGOR

"Ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan akan membantu menghalang sebarang laman web yang tidak sesuai untuk ditonton di dalam masjid, termasuklah judi.

"Dan dengan ciri-ciri yang ada, kita juga boleh mengelakkan daripada berlakunya kegiatan-kegiatan penipuan (scam)," katanya.

Bercakap dalam sidang media di Dewan Annexe, Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini, Fahmi berkata rangkaian internet bersepadu itu turut membolehkan maklumat berkaitan pengurusan masjid, termasuk waktu solat, diselaraskan menerusi sumber rasmi Jabatan Mufti Selangor.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan semua masjid menggunakan maklumat yang sahih dan seragam, sekali gus mengelakkan perbezaan maklumat akibat penggunaan pelbagai sumber.

"Sebagai contoh, waktu solat, kita mahu daripada satu sumber yang sah, iaitu melalui Jabatan Mufti yang akan digunakan di semua masjid mengikut daerah yang mereka tinggal.

"Hari ini mungkin masjid mengambil kaedah yang pelbagai, jadi kita nak gunakan internet ataupun rangkaian yang bersepadu ini supaya dapat dikawal dengan baik," katanya.

Selain itu, kemudahan berkenaan turut menyokong urusan pentadbiran masjid, termasuk semakan status tauliah penceramah bagi memastikan hanya individu yang mempunyai kebenaran menyampaikan ceramah.

Mengulas potensi peluasan kemudahan itu, Fahmi tidak menolak kemungkinan rangkaian internet bersepadu berkenaan turut diperkenalkan di institusi pendidikan di Selangor, khususnya milik kerajaan negeri.

"Jadi kalau WiFi itu sesuai, tidak mustahil kita luaskan kepada institusi pendidikan terutamanya milik kerajaan negeri," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.