Selangor, KPKT ganding bahu selesai projek perumahan sakit

11 Ogos 2026, 5:03 AM
Selangor, KPKT ganding bahu selesai projek perumahan sakit
Selangor, KPKT ganding bahu selesai projek perumahan sakit

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor akan bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengenal pasti punca serta langkah menangani projek perumahan sakit dan terbengkalai.

EXCO Perumahan Datuk Borhan Shah berkata perkara itu turut dalam kajian Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi memastikan projek mengalami kelewatan dipulihkan dan disiapkan.

“Kita sedang mengenal pasti sebab dan bagaimana untuk menangani isu rumah terbengkalai serta pengaturan semula termasuk melihat langkah yang sesuai bagi memastikan projek berkenaan dapat diteruskan dan diselesaikan dengan sebaiknya.

“Perkara ini juga sedang dalam kajian LPHS dan kita akan menjalinkan kerjasama dengan KPKT untuk melihat pendekatan yang lebih berkesan dalam menyelesaikan isu tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan wakil rakyat Teratai Yew Jia Haur berhubung langkah menangani projek perumahan yang mengalami kelewatan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Borhan menambah Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap pemaju yang gagal mematuhi jadual pelaksanaan projek dan tindakan penguatkuasaan serta pentadbiran akan dikenakan melalui LPHS.

Katanya, LPHS turut melakukan pemantauan, penguatkuasaan dan pentadbiran bagi memastikan projek yang lewat atau dikategorikan sakit dapat dipulihkan dan disiapkan mengikut perancangan.

Semalam, media melaporkan KPKT akan memperkenal analitik data raya mulai tahun depan bagi membantu menangani ketidakpadanan antara penawaran rumah dengan keperluan sebenar rakyat mengikut lokaliti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata sistem berkenaan akan menyediakan data mengikut lokaliti, wilayah dan negeri sebagai rujukan pemaju sebelum projek dibangunkan.

Menurutnya, KPKT berjaya menyelesaikan sebanyak 1,647 projek perumahan sakit dan terbengkalai bernilai RM153 bilion melibatkan hampir 200,000 pembeli rumah, setakat ini.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.