Mangsa banjir Selangor meningkat kepada 1,392 orang di sembilan PPS

18 Nov 2026, 9:47 AM
Mangsa banjir Selangor meningkat kepada 1,392 orang di sembilan PPS

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor dan Negeri Sembilan merekodkan sedikit peningkatan manakala di Perak berkurangan setakat 4 petang ini.

Di SELANGOR, mangsa banjir yang ditempatkan di sembilan PPS meningkat kepada 1,392 orang daripada 372 keluarga berbanding 1,373 orang daripada 363 keluarga pada sebelah pagi.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Maharaja Lela menempatkan 357 orang diikuti SK Parit Mahang (343), Dewan Masjid An-Naim Kampung Jalan Kebun (228) Sekolah Rendah Agama (SRA) Bukit Kuching (193), Dewan Orang Ramai Bukit Kuching Tengah (78), Kafa Integrasi Hidayah Bukit Cherakah (73), Dewan Orang Ramai Seri Harmoni (67), SRA Batu 8 Ijok (36) dan SK Batu Arang (17).

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara pula menasihati penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir di daerah Sepang, Kuala Langat dan Gombak agar berwaspada susulan amaran kemungkinan banjir dikeluarkan yang dijangka bermula 4 petang ini hingga 11.59 malam Sabtu depan.

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa yang berlindung di dua PPS di daerah Port Dickson, iaitu Balai Raya Kampung Jimah Lama dan Balai Raya Kampung Linggi meningkat kepada 60 orang daripada 17 keluarga berbanding 58 orang daripada 17 keluarga pada sebelah pagi.

Berdasarkan data InfoBencana JKM, mangsa terdiri daripada 18 lelaki, 15 wanita dan 27 kanak-kanak termasuk seorang kanak-kanak lelaki orang kurang upaya.

Di PERAK, jumlah mangsa yang berlindung di tujuh PPS di empat daerah terjejas setakat 4 petang ini berkurangan kepada 701 orang daripada 241 keluarga berbanding 1,054 orang daripada 372 keluarga pada sebelah pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan ia susulan penutupan dua PPS di Larut, Matang dan Selama pada 2.30 petang membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang serta SK Matang Gelugor selain penutupan sebuah lagi PPS, iaitu SK Kota Bharu di Kampar pada 2 petang susulan situasi banjir telah pulih.

Selain itu, SK Batu Hampar dan SK Matang di daerah Larut Matang dan Selama merekodkan sebanyak 271 mangsa daripada 104 keluarga masih berlindung di dua PPS berkenaan manakala di Manjung,129 mangsa daripada 37 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai dan di Hilir Perak (108 mangsa daripada 34 keluarga).

Di Kerian, sebanyak 193 orang daripada 66 keluarga termasuk 12 mangsa tanah runtuh daripada tiga keluarga berlindung di PPS SK Bukit Merah, Dewan Serbaguna Gunung Semanggol dan SK Parit Haji Aman.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan di semua daerah di Perak malam ini kecuali Manjung dijangka dilanda ribut petir.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran merekodkan paras air Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah, Kerian mencatatkan bacaan 9.19 meter, iaitu melebihi paras bahaya 9.14 meter manakala Sungai Kampar di Kampung Baru Kuala Dipang mencatatkan bacaan 22 meter, melebihi paras berjaga-jaga.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.